NEW DELHI: Sebuah pesawat kargo C-130J Hercules milik Tentera Udara India terhempas di tengah India pada Jumaat dikhuatiri mengorbankan kesemua lima anak kapalnya. Kapten Gerard Galway, dipetik oleh media massa India sebagai berkata, pasukan penyelamat telah pun dikerahkan ke pinggir bandar Gwalior di negeri Madhya Pradesh untuk mencari dan menyelamat. Bagaimanapun stesen televisyen India, NDTV melaporkan yang kesemua anak kapal pesawat berkenaan telah terkorban. Pesawat itu dilaporkan dalam penerbangan rutin dan berlepas dari pangkalan udara Agra. India memiliki enam buah pesawat buatan Amerika itu. India juga telah menghantar salah sebuah pesawat dari model yang sama dalam operasi mencari dan menyelamat pesawat Penerbangan Malaysia MH370 yang hilang di Lautan Hindi baru-baru ini.