suria

Parti Golkar, PDI-P Dijangka Bersaing Sengit Pada Pemilu 2014

JAKARTA: Parti Golkar dan Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) dijangka bersaing hebat dalam Pemilihan Umum (Pemilu)
Parlimen 2014 pada 9 April ini, menurut satu tinjauan yang dilakukan di seluruh Indonesia baru-baru ini.

Hasil tinjauan yang dilakukan oleh Political Weather Station (PWS) menunjukkan Parti Golkar meraih 20.3 peratus manakala PDI-P memperoleh 19.3 peratus dari segi tahap pilihan ramai.

"Parti Golkar dan PDI-P saling sering berganti menduduki tempat pertama dan kedua," kata penyelidik kanan PWS, Denny Ramdhany ketika mengumumkan hasil tinjauan itu di sini, Isnin.

Kajian itu juga mendapati Parti Gerindra berada di tempat ketiga apabila memperoleh 14.2 peratus diikuti Parti Hanura (8.9), Parti Kebangkitan Bangsa (6.6), Parti Demokrat (6.5).

Parti Persatuan Pembangunan (5.4), Parti Amanat Nasional (4.7), Parti Nasdem (4.3), Parti Keadilan Sejahtera (4.2), Parti Bulan Bintang (1.1) dan PKPI (0.5), manakala selebihnya, responden tidak membuat pilihan.

Denny berkata Parti Golkar dan PDI-P memperoleh pilihan tertinggi kerana kedua-dua parti itu memiliki jaringan organisasi dan kader di seluruh Indonesia.

Kedua-dua parti itu juga memiliki pegawai tertinggi di wilayah-wilayah berbanding parti lain seperti gabenor, datuk bandar dan pegawai daerah, katanya.

"Kekuatan kedua-dua parti ini tidak tertumpu kepada satu faktor sahaja, misalnya ada faktor ketokohan, kewangan dan agama (pada pemimpin mereka)," kata Denny.
 
Tinjauan itu dilakukan dari 12 hingga 24 Mac di 34 wilayah di seluruh Indonesia dengan sejumlah 1,230 responden yang dipilih secara rawak serta layak mengundi pada Pemilu akan datang.

Denny berkata tinjauan itu dibiayai oleh Yayasan Cuaca Politik Indonesia serta sumbangan daripada usahawan kecil dan sederhana di negara berkenaan.

Artikel Lain