JAKARTA: Indonesia akan mempunyai 299 lapangan terbang di seluruh negara dalam tempoh lima tahun akan datang, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Bambang Susantono sambil menambah 62 lapangan terbang baharu kini sedang dilaksanakan. "Lapangan terbang itu tidak semuanya sebesar lapangan terbang di bandar-bandar utama tetapi ia penting untuk meningkatkan akses di negara kita," kata Bambang seperti dilaporkan Tribunnews.com, pada Jumaat. Bambang berkata kebanyakan lapangan terbang baharu akan dibina di bahagian timur Indonesia. "Lapangan terbang adalah cara yang paling berkesan untuk membantu mengangkut manusia dan barangan ke tempat-tempat seperti bahagian timur Indonesia yang mempunyai topografi mencabar," katanya. Pada masa ini, Indonesia mempunyai 237 lapangan terbang, 16 daripadanya adalah lapangan terbang komersial di bandar-bandar besar yang diuruskan pengendali lapangan terbang negara, PT Angkasa Pura I dan PT Angkasa Pura II. Lapangan terbang lain berada di bawah Unit Pengurusan Teknikal Kementerian Pengangkutan (UPT).