suria

Malaysia Mahu Jadi Destinasi Pilihan Pelajar Timur Tengah

Muhyiddin bersama Menteri Pembangunan Kebudayaan, Belia dan Sosial Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Nahyan Mubarak Al Nahyan (dua, kanan) tertarik melihat alat kawalan jauh sewaktu melawat pameran GETEX 2014 di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Dubai (DICEC) pada Rabu. - fotoBERNAMA
DUBAI: Malaysia berhasrat menjadi destinasi pendidikan tinggi pilihan pelajar rantau Timur Tengah termasuk Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dengan meningkatkan profilnya melalui penyertaan pada pameran pendidikan berprestij dan menjalin kerjasama kerajaan dengan kerajaan dalam bidang pendidikan.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan berkata dalam pertemuan beliau dengan pemimpin UAE, sempena lawatan kerja lima harinya ke Dubai bermula Isnin lepas, mereka menyatakan hasrat agar kerjasama Malaysia dan UAE dalam bidang pendidikan dapat dipertingkatkan.

Muhyiddin pada Rabu menerima kunjungan Menteri Pelajaran UAE Humaid Mohammed Al Qatami dan Menteri Kebudayaan, Pembangunan Belia dan Masyarakat Sheikh Nahyan Mubarak Al Nahyan di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Dubai.

Muhyiddin yang diiringi dua menteri UAE itu kemudian menghadiri Pameran Pendidikan dan Latihan Teluk (Getex) 2014 di pusat konvensyen itu serta merasmikan pavilion Education Malaysia yang mengambil bahagian.

"(Pemimpin) UAE dalam perbincangan tadi amat menghargai kerjasama kita dan mahu kita meluaskan skop kita dalam bidang-bidang (pendidikan) yang perlu kita kembangkan.

"Saya nyatakan memang itulah hasrat kita dan mereka bangga dan mahu kita perluaskan dalam pelbagai bidang," katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan kerjanya itu.

Muhyiddin berkata UAE menyatakan rasa bangga dengan penyertaan Malaysia pada Getex 2014 kerana ia menunjukkan hubungan rapat antara Malaysia-UAE dalam bidang pendidikan selain menjadi antara negara terbesar yang menghantar penyertaan.

Pavilion Education Malaysia disertai 27 universiti awam dan swasta dan institusi pengajian tinggi dari Malaysia antaranya Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia, Sunway University dan Kolej Universiti SEGi.

Muhyiddin berkata penyertaan dalam pameran pendidikan berprofil tinggi seperti Getex dan jalinan hubungan dengan pemimpin UAE dapat memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi di rantau Timur Tengah.

Katanya ini sekali gus dapat meningkatkan minat lebih banyak pihak untuk menyertai program pendidikan di Malaysia dan membolehkan negara menjalin kerjasama dengan institusi luar negara dalam bidang tertentu seperti sains dan teknologi.

Lebih 160 pelajar UAE sedang menuntut di Malaysia antaranya dalam bidang kejuruteraan, sains dan teknologi dan jumlah itu diharapkan dapat dipertingkatkan di masa hadapan, katanya.

"Mereka (pemimpin UAE) berjanji pada masa akan datang, bertambah lagi pelajar (UAE) dan mereka juga mahu pelajar kita ke sini (UAE), sebab itu kita mahu jalinkan kerjasama ini untuk jangka panjang," katanya.

Muhyiddin berkata antara bidang kerjasama pendidikan yang boleh dipertimbangkan antara Malaysia dan UAE adalah seperti sains, teknologi, minyak dan gas dan bahasa. 

Antara faktor tarikan Malaysia dalam bidang pendidikan ialah kos yang kompetitif, katanya.

Muhyiddin berkata Malaysia yang telah menyertai Getek sejak 2004 berhasrat untuk meneruskan penyertaan dalam pameran pendidikan itu pada masa hadapan kerana ia mampu menarik lebih ramai pelajar terutama dari Timur Tengah untuk menuntut di Malaysia.

Anggaran 25,000 hingga 27,000 penuntut dari Asia Barat melanjutkan pelajaran di Malaysia pada masa ini.

Artikel Lain