BANGKOK: Sesiapa sahaja yang lalu di jalan raya di Thailand dalam tempoh tiga hari lepas pasti kuyup, manakala isu politik pula dilupakan untuk sementara. Walaupun dilanda masalah politik dan pertumbuhan lembab ekonomi, termasuk pesawah yang masih belum menerima bayaran berjumlah berbilion baht sejak beberapa bulan lepas, semua itu tidak menghalang rakyat negara ini dan pelancong menyambut pesta air atau Songkran dari 12 hingga 15 April. Keadaan di Bangkok sunyi daripada biasa kerana kebanyakan penduduk pulang ke kampung halaman masing-masing sempena cuti panjang Tahun Baharu Thai. Bagaimanapun, ibu negara Thailand ini tetap meriah dengan kehadiran banyak pelancong. Kebanyakan pelancong yang berjalan di bandar raya metropolitan ini, terutama di kawasan tumpuan seperti Nan dan Asok, membawa senapang air. Boleh dikatakan setiap orang yang berada di jalan raya Bangkok basah kuyup. Kebanyakan anak muda yang bekerja di ibu kota Thailand ini mengambil kesempatan daripada cuti panjang berkenaan untuk pulang ke kampung masing-masing dan menyerahkan wang derma yang dikumpul daripada rakan mereka kepada kuil di tempat masing-masing. Songkran bukan sahaja cuti tahun baharu bagi rakyat Thailand, tetapi juga merupakan "Hari Keluarga" (14 April) untuk mereka menghabiskan masa bersama-sama sambil melakukan kerja kebajikan. Sebagai contoh, di Kuil Srathong di kampung Nongsaeng, wilayah kecil Srisomdet, Somdet di utara Thailand, satu acara keagamaan diadakan yang menyaksikan penduduk kampung memberi penghormatan kepada golongan lebih berusia daripada mereka. Begitu juga keadaannya di kebanyakan kampung lain. Namun, di sebalik segala kemeriahan yang mereka nikmati itu, golongan petani di luar bandar tetap berasa bimbang tentang masa depan mereka. "Saya sungguh gembira hari ini kerana ia Tahun Baharu Thai. Seronok rasanya melihat anggota keluarga kami berkumpul bersama-sama kerana mereka jarang bertemu kalau bukan kerana Songkran. "Tapi pada waktu yang sama saya juga sedih sebab suami saya tidak dapat bersama kami kerana dia perlu bekerja untuk mencari nafkah untuk keluarga kami," kata Prapan Paimee, pesawah berusia 45 tahun di Somdet. "Kami tentu ada wang untuk menyambut Songkran jika kerajaan tidak melengah-lengahkan bayaran padi yang kami jual kepadanya," kata Prapan Paimee, pesawah berusia 45 tahun di Somdet sambil mengadu kerajaan masih berhutang kira-kira 65,000 baht dengannya. Prapan berkata beberapa penduduk lain di kampung itu menghadapi masalah serupa dan keadaan bertambah parah kerana sekolah akan dibuka semula bulan depan. "Saya tak pinjam duit daripada jiran atau saudara mara kerana mereka juga tidak ada wang," katanya sebelum menuju ke kuil di kampungnya untuk bersembahyang.