suria

Kelas Sekolah Mangsa Tragedi Feri Karam Bermula Khamis

Tragedi feri karam yang mengorbankan pelajar Sekolah Tinggi Danwon

ANSAN (Korea Selatan): Sekolah tinggi yang berkabung berikutan kematian kira-kira 250 pelajarnya dalam tragedi feri karam yang berlaku baru-baru ini memulakan kelas seperti biasa, Khamis.

Pelajar tahun akhir Sekolah Tinggi Danwon di bandar ini yang terletak di selatan Seoul dijangka kembali ke kelas masing-masing.

Bagaimanapun, suasana sedih dan muram tidak dapat dielak apabila kelas masih kosong apabila feri membawa 325 pelajar yang mengikuti program sekolah itu ke pulau peranginan di selatan Jeju karam pada 16 April lalu.

Pegawai pendidikan wilayah berkenaan bagaimanapun berkata, kelas menengah rendah hanya akan bermula Isnin.

Beliau juga tidak pasti bila pelajar yang terselamat dalam tragedi itu akan meneruskan  pembelajaran mereka di sekolah itu.

Berhampiran sekolah itu, ribuan masyarakat memberi penghormatan terakhir pada majlis peringatan khas untuk pelajar yang menjadi mangsa dalam tragedi itu.

Lebih 12,000 orang berkabung dan menghadiri majlis yang diadakan di stadium sukan tertutup sekolah berkenaan, Rabu.

Dalam kejadian itu, pelajar sekolah tinggi itu adalah majoriti penumpang feri Sewol yang keseluruhannya seramai 476 orang. Setakat ini daripada 174 mangsa yang terselamat, hanya 75 adalah pelajar.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain