DENPASAR (Bali): Sebuah pesawat milik Virgin Australia untuk seketika mencetuskan panik kepada pihak berkuasa kerana pada mulanya disangka telah menjadi mangsa rampasan ketika dalam perjalanan dari Brisbane ke sini, Jumaat. Virgin kemudiannya membuat penjelasan bahawa insiden itu bukanlah satu percubaan rampasan tetapi berpunca daripada seorang penumpang mabuk yang cuba memecah masuk pintu kokpit pesawat. Suspek terus ditahan pihak berkuasa lapangan terbang Bali sebaik sahaja pesawat itu selamat mendarat di sini pada pagi Jumaat. Jurucakap Virgin menjelaskan mereka pada mulanya menyangkakan yang pesawat itu telah dirampas kerana wujudnya salah faham dalam komunikasi di antara juruterbang dengan Menara Kawalan Udara di Bali. Ini kerana seorang penumpang mabuk cuba berkali-kali memecah masuk melalui pintu kokpit menyebabkan juruterbang menyangkakan yang pesawat itu cuba dirampas oleh seseorang. Sebaik sahaja pesawat itu mendarat, pihak berkuasa lapangan terbang bersama unit komando Tentera Udara Indonesia telah menyerbu masuk ke dalam pesawat dan menahan suspek dengan segera. Pesawat tersebut VA41 adalah milik Virgin Australia dalam perjalanan dari Brisbane ke Bali. Virgin Australia sebelum ini dikenali sebagai Virgin Blue dan diasaskan oleh jutawan Richard Branson dan bekas pengasas Virgin Blue, Brett Godfrey pada tahun 2000. Ia kini adalah syarikat penerbangan kedua terbesar di Australia.