JAKARTA: Mahkamah Indonesia pada Khamis menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun terhadap bekas Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Daya Mineral (ESDM) Indonesia, Rudi Rubiandini kerana menerima rasuah. Rudi dipenjarakan selepas didapati bersalah menerima rasuah sebanyak $1.5 juta (RM4.8 juta) dan tindakannya bertentangan dengan usaha kerajaan yang sedang berusaha membasmi rasuah. Rudi yang menyandang jawatan Ketua Pasukan Petugas Pelaksanaan Kegiatan Huluan Minyak dan Gas Bumi (SKK Migas) Indonesia ditahan pegawai dari Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) Indonesi selepas serbuan di rumahnya menemukan sejumlah wang dan dokumen yang berkaitan. Beliau didakwa menerima rasuah daripada beberapa syarikat berkaitan gas dan galian. "Tindakannya tidak selaras dengan usaha kerajaan yang bertungkus-lumus membasmi rasuah dan memberi didikan mengenai jenayah rasuah kepada rakyat," kata Ketua Hakim Mahkamah Anti Rasuah Jakarta, Amin Ismanto. Rudi pernah menyandang jawatan Timbalan Menteri ESDM selama kira-kira tujuh bulan bermula pertengahan tahun 2012, sebelum dilantik sebagai Ketua SKK Migas pada pertengahan Januari tahun ini. SKK Migas ialah agensi yang mengambil alih peranan Badan Pelaksanaan Kegiatan Huluan Minyak dan Gas (BP Migas) Indonesia yang dibubarkan oleh keputusan Mahkamah Konstitusi Indonesia kerana kewujudannya didapati tidak berperlembagaan. Rudi, yang juga seorang ahli akademik, sebelum ini pernah menjadi Penasihat Pakar kepada Ketua BP Migas pada 2009-2010 dan Timbalan Ketua Pengendalian Operasi BP Migas pada 2011-2012. Penangkapan dan hukuman terhadap Rudi mengejutkan ramai tokoh nasional.