suria

Seorang Maut 23 Cedera, Gempa Bumi Di Utara Thailand

Keadaan jalan yang rosak berikutan gempa bumi yang melanda di Chiang Rai, utara Thailand. Foto AP

BANGKOK: Seorang wanita warga emas maut dan 23 lagi cedera selepas satu gempa bumi kuat menggegarkan utara Thailand, kata pegawai pada Selasa.

Beliau berkata, gempa bumi itu yang disusuli dengan gegaran lain di kawasan pergunungan yang popular di kalangan pelancong.

Wanita berusia 83 tahun itu meninggal dunia selepas dinding di rumahnya runtuh dalam kejadian gempa bumi yang berukuran 6.0 magnitud menggegarkan pada petang Isnin, menurut pegawai di Jabatan Pengurangan dan Pencegahan Bencana di Bangkok.

"Seramai 23 orang turut cedera dalam kejadian berasingan yang disebabkan oleh gempa itu," kata pegawai itu kepada AFP.

Gempa bumi itu melanda pada kedalaman hanya 7.4 kilometer dari pusat gempa di kawasan pinggir Phan di wilayah Chiang Rai, kata pakar geologi, dan dapat dirasai beratus-ratus kilometer ke selatan di Bangkok dan juga Yangon, bandar komersial di Myanmar.

"Sejak petang lepas (Isnin), terdapat enam gempa besar susulan antara 5.0 sehingga 5.89 magnitud dan yang terakhir pada pagi ini (Selasa)," kata Burin Wechbunthung dari Jabatan Meterologi kepada AFP.

Beliau menambah, terdapat beberapa gegaran kecil ekoran gempa bumi itu.

Penduduk pada Isnin berkata, mereka melihat banyak bangunan retak, tingkap kedai pecah dan kerosakan jalan raya, manakala bekalan elektrik terganggu untuk selama beberapa jam di Phan.

Kawasan gempa itu merupakan tempat percutian popular yang terpencil di kawasan pergunungan, berhampiran sempadan Myanmar dan Laos. - AFP


gempa bumi, utara Thailand

Artikel Lain