KANO: Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama pada Selasa menyifatkan insiden penculikan kira-kira 220 pelajar sekolah perempuan dari asrama mereka di Chibok, Borno oleh Kumpulan Boko Haram sebagai tindakan tidak berhati perut. Susulan itu, AS sedang mengerahkan pasukan tentera untuk mengesan kesemua mangsa culik. Obama turut mengesahkan pemimpin Nigeria menerima tawaran AS untuk mengerahkan tenteranya di negera itu. Namun, sebaik saja pengumuman itu dibuat, kumpulan tersebut menculik lapan lagi pelajar perempuan berusia antara 12 dan 15 tahun di timur laut Nigeria. Insiden penculikan pertama berlaku tiga minggu lalu dan nasib kesemua mangsa masih tidak diketahui selepas pemimpin kumpulan itu, Abubakar Shekau yang mendakwa bertanggungjawab mengancam untuk menjual mereka sebagai 'hamba'. Bercakap kepada stesen televisyen ABC, Obama berkata:"Insiden itu amat menyayat hati dan satu tindakan yang dianggap keterlaluan. Obama berkata, pasukan yang dihantar ke Nigeria terdiri daripada tentera, penguat kuasa undang-undang dan agensi berkaitan. "Mereka akan membantu mengesan tempat tebusan disembunyikan dan membantu proses pembebasan mereka," katanya.