BANGKOK: Penyokong anti-kerajaan menuntut maaf daripada polis kerana menggunakan gas pemedih mata dan meriam air terhadap mereka semalam dan sejurus kemudian menerima permohonan maaf. Langkah pantas polis itu berjaya mengelakkan konflik keganasan daripada menjadi bertambah buruk. Di pinggir ibu negara, lebih 50,000 penyokong pro-kerajaan telah berkumpul dalam usaha untuk mendapatkan sokongan lebih besar berikutan penyingkiran bekas perdana menteri Yingluck Shinawatra. Buddha Issara, seorang sami kanan yang juga ketua pemprotes anti-kerajaan membawa penyokongnya ke pejabat Pusat Pentadbiran bagi Keamanan dan Ketenteraman (CAPO). Beliau ke balai polis itu pada sebelah pagi untuk memfail tuduhan bunuh terhadap polis kerana menggunakan gas pemedih mata dan meriam air terhadap pemprotes di hadapan pejabat CAPO semalam mengakibatkan enam cedera. "Kami ke sini hari ini kerana mahu kamu (polis) meminta maaf kepada kami kerana melepas gas pemedih mata. "Jika anda datang dan minta maaf pada kami, kami akan tarik balik semua tuduhan," katanya kepada polis. Akhirnya, seorang wakil polis muncul dan memohon maaf. Pemprotes yang berkumpul di hadapan pejabat CAPO sejak tengah hari bersurai empat jam kemudian. Semasa protes itu, kumpulan berkenaan menghalang trafik ke dan dari Lapangan Terbang Don Muang, hingga melumpuhkan lalu lintas dan menjejas orang ramai yang melakukan perjalanan. Sementara itu, di Aksa Road di pinggir ibu negara, penyokong baju merah pro-kerajaan mula berkumpul dengan membawa fasiliti dan bekalan untuk para penyokong yang mengadakan tunjuk perasaan dijadualkan berlangsung beberapa hari. Lautan manusia berjumlah kira-kira 50,000 tengah hari ini mendengar ucapan para pemimpin mereka yang mengutuk Suthep Thaugsuban, pemimpin kumpulan anti-kerajaan, Jawatankuasa Pembaharuan Demokratik Rakyat (PDRC).