suria

Wartawan Perancis Terbunuh Di Afrika Tengah

Gambar fail Camille Lepage (kiri) ketika berada di Stadium Bonga Bonga di Bangui, Republik Afrika Tengah. Foto AP

TBILISI: Seorang wartawan warga Perancis terbunuh semasa melakukan tugasan melaporkan konflik yang melanda Republik Afrika Tengah, yang mungkin disebabkan oleh serangan hendap, kata Presiden Perancis, Francois Hollande pada Selasa.

Bercakap kepada media di Tbilisi dalam lawatannya ke Georgia, Hollande berkata, wartawan berkenaan iaitu Camille Lepage "sedang mengambil gambar, melakukan tugas membuat laporannya dan dipercayai kematiannya disebabkan oleh satu serangan hendap ketika itu".

Mayatnya ditemui oleh peronda tentera pengaman Perancis, yang memeriksa sebuah kenderaan yang dipandu oleh militia "anti- Balaka" di rantau Bouar, di barat Afrika Tengah, menurut kenyataan presiden Perancis.

Lepage berusia 26 tahun dan bekerja sebagai jurugambar untuk Hans Lucas, studio yang berpangkalan di Paris, menurut laman webnya.

Kematiannya berlaku enam bulan selepas dua wartawan Perancis dari radio RFI terbunuh di Mali.

Satu sumber tentera Perancis berkata, Lepage bersama dengan militia anti- Balaka untuk melakukan laporan beliau ketika mereka diserang hendap oleh kumpulan bersenjata di rantau ini dua hari lepas.

"Beliau terbunuh selepas terkena tembakan mayatnya ditemui oleh militia anti-Balaka," kata sumber itu yang tidak mahu dikenali, sambil menambah bahawa siasatan sedang dijalankan mengenai punca sebenar kematiannya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan