GENEVA: Pemilik kelab bolasepak Monaco, Dmitry Rybolovlev diarahkan oleh sebuah mahkamah di sini supaya membayar wang penyelesaian perceraian berjumlah lebih £2.6 bilion kepada bekas isterinya - dipercayai yang terbesar di dunia. Secara terperinci, hakim telah mengarahkan Dmitry Rybolovlev, 47, membayar bekas isterinya, Elena Rybolovleva, sebanyak 4,020,555,987 Swiss francs dan 20 centimes yang bersamaan dengan £2,681,297,538 dan 78 pence. Jumlah itu adalah anggaran separuh daripada harta kepunyaan Rybolovlev yang merupakan salah seorang manusia terkaya dunia. Keputusan ini dibuat selepas kes perbicaraan mereka berlanjutan selama enam tahun apabila Rybolovlev, yang mengumpul kekayaan menerusi urus niaga baja di Rusia memutuskan untuk mencabar tuntutan isterinya selama 24 tahun itu ke atas dua buah kediaman mewah di Amerika dan juga di sebuah kepulauan Greek. Kes perceraian yang mencatat rekod dunia sebelum ini disandang oleh bekas pasangan suami-isteri, jutawan Alec Wildenstein dan Jocelyne yang berjumlah £1.5 bilion. Mogul media, Rupert Murdoch, berada di tangga kedua apabila mahkamah mengarahkannya membayar bekas isterinya, Anna, £1 bilion pada 1999. Dalam kes Rybolovlev pula, mahkamah mendapatinya bernilai £5.2 bilion. Di samping bakal menerima separuh daripada hasil kekayaan bekas suaminya itu, Elena Rybolovleva juga diberikan hak penjagaan ke atas anak perempuan mereka, Anna yang berusia 13 tahun. Dia juga diberi hak separuh ke atas nilai kediaman mereka di sini. Perbicaraan ini mengambil masa yang panjang untuk diselesaikan selepas Elena menuntut £50 juta lebih hak ke atas sebuah kediaman bekas suaminya di kota New York yang dibeli untuk anak mereka Anna. Ketika Rybolovlev membeli kediaman itu daripada bekas ketua Kumpulan Citi Bank, Sandford I.Weill, ia mencatat sejarah sebagai kediaman termahal yang pernah dibeli di kota New York. Dalam kertas tuntutan yang difailkan di mahkamah Elena mendakwa bekas suaminya itu telah menggunakan aset yang mereka miliki untuk membeli aset dan harta-harta lain dengan harapan ia akan terlepas dari tangannya. Aset-aset ini termasuklah kelab bolasepak terkemuka Perancis, AS Monaco, saham bernilai AS$295 juta dalam Bank of Cyprus, dan sebuah kediaman bernilai AS$95 juta di Palm Beach, Florida, yang dibeli dari tangan seorang lagi taikun terkemuka dunia, Donald Trump. Di samping itu, Rybolovlev juga memiliki sebuah rumah agam di Hawaii bernilai £12 juta yang dibelinya daripada bintang Hollywood, Will Smith serta sebuah penthouse di Monaco, yang didiaminya sekarang yang dibeli pada harga £178 juta. Dia juga adalah pemilik sebuah pulau kecil di Greek bernama Pulau Skorpios yang dibeli daripada Dinasti Onassis tahun lalu pada harga £100 juta. Pulau itu menjadi popular pada tahun 1968 apabila bekas isteri Presiden Amerika, mendiang John F. Kennedy, Jacqueline Kennedy mengahwini taikun perkapalan, Aristotle Onassis. Rybolovlev pada asalnya adalah pemilik sebuah syarikat pengeluar baja di Rusia, Uralkali dan menjadi kaya raya selepas dia menjual firmanya itu sebanyak AS$6.5 bilion pada 2010. Hasil daripada penjualan itu membolehkannya membeli kepentingan majoriti dalam kelab AS Monaco pada Disember 2011, dalam usahanya untuk bersaing dengan sebuah lagi kelab Perancis Paris Saint Germain, yang dimiliki oleh jutawan Qatari. Rybolovlev yang kini menetap di Monaco, juga memiliki estet di Saint Tropez Perancis dan mengumpul karya seni Picasso, Van Gogh, Gauguin dan Monet. Sejak berpisah dengan suaminya, Elena terpaksa mengupah detektif swasta untuk menjaga keselamatan dirinya. Dalam petisyen cerainya, Elena berkata dia sudah tidak tahan dengan perbuatan suaminya yang menduakannya dengan memberi contoh parti yang diadakan di atas kapal layar bersama-sama sekumpulan jutawan yang lain dengan wanita-wanita muda.