suria

Letupan Di Urumqi: 31 Terkorban, Lebih 90 Cedera

Anggota polis melakukan kawalan di sekitar pasar di Urumqi, yang menjadi kawasan kediaman majoriti kaum Uygur.

BEIJING: Seramai 31 orang terkorban dan lebih 90 yang lain mengalami kecederaan pada Khamis apabila dua kenderaan merempuh sebuah pasar dan melemparkan bahan letupan di wilayah bergolak di Xinjiang yang didiami etnik Uighur, lapor agensi berita rasmi Xinhua.


Dua kenderaan dipandu ke dalam kawasan pasar yang sedang dipenuhi pengunjung di ibu negeri, Urumqi, dengan salah seorang daripada mereka melakukan letupan, menurut Xinhua yang menyifatkan insiden ganas itu adalah yang terbaharu di rantau pedalaman barat.

Gambar yang dipaparkan di Weibo, serta Twitter menunjukkan mangsa terbaring di atas jalan.

Latar belakang gambar menunjukkan api yang sedang marak, manakala imej-imej lain menunjukkan kepulan asap melitupi gerai-gerai di pasar sambil polis melakukan sekatan jalan.

Tiada seorang pun mangsa dapat disahkan dari gambar-gambar tersebut.

Seorang saksi yang sedang berada di pasar memberitahu Xinhua dia mendengar bunyi letupan kuat semasa kejadian kira-kira pukul 7.50 pagi (2350 GMT), ketika pasar pagi yang menjual barangan runcit segar biasanya sesak dengan pembeli.

"Terdapat beberapa letupan kuat di pasar pagi di Cultural Palace di Urumqi," dia menulis di Weibo dan berkata dia berada kurang dari 100 meter dari tempat kejadian.

"Saya melihat api dan asap tebal manakala kenderaan dan barang-barang tersebut terbakar manakala peniaga melarikan diri meninggalkan barang-barang mereka."

Semua yang cedera telah dihantar ke hospital, lapor portal web kerajaan serantau Xinjiang, Tianshan .
Uygur, Urumqi, Xinjiang, letupan

Artikel Lain