"Sokongan yang diberi oleh orang awam bukan sahaja menunjukkan semangat gotong-royong, tetapi juga cerminan harapan rakyat akan masa depan negara di bawah gandingan Jokowi dan Jusuf Kalla," kata jurucakap kempen Hasto Kristiyanto, dipetik oleh Jakarta Globe pada Jumaat.
Menurut laporan itu, kedua-duanya membuka akaun di Bank Rakyat Indonesia dan Bank Mandiri yang dimiliki kerajaan serta bank swasta Bank Central Asia.
Hasto berkata mereka juga komited kepada ketelusan dan akan bekerjasama dengan pemerhati antirasuah.
Pembukaan akaun bank itu juga katanya mematuhi peraturan pilihan raya dan Komisi Pemilihan Umum (KPU).
"Usaha ini juga membezakan (gandingan Jokowi-Jusuf) dengan gandingan lain yang memilih untuk mengumpul dana kempen tanpa pembabitan orang awam. Dengan cara itu peluang mendapat sokongan daripada kumpulan berkepentingan lebih besar," katanya.
Sebelum ini pilihan raya presiden Indonesia tidak pernah mengutip sumbangan dana kempen daripada rakyat.
KPU meletakkan had sumbangan orang awam pada satu bilion rupiah (US$85,985) dan korporat pula lima bilion rupiah (US$429,925).