MAHKAMAH di Mesir pada Isnin menjatuhkan hukuman penjara antara 7 hingga 10 tahun terhadap tiga orang wartawan Al-Jazeera yang dituduh membantu Ikhwanul Muslimin. Wartawan Australia, Peter Greste dan wartawan Mesir-Kanada Mohamed Fadel Fahmy dijatuhkan hukuman tujuh tahun penjara, manakala penerbit Baher Mohamed dijatuhkan dua hukuman iaitu tujuh tahun dan tiga tahun penjara. Ketiga-tiga wartawan itu adalah antara 20 defendan dalam perbicaraan yang menimbulkan kemarahan dunia di tengah-tengah kebimbangan mengenai tekanan terhadap media di Mesir. Menurut Al-Jazeera, sembilan dari 20 defendan itu adalah kakitangan stesen televisyen itu yang berpangkalan di Qatar, termasuk dua orang wartawan asing. Salah seorang daripadanya adalah wartawan wanita dari Belanda, Rena Netjes. Sementara itu Menteri Luar Australia, Julie Bishop terkejut dan sedih mendengar keputusan mahkamah yang menjatuhkan hukuman seberat itu. "Kerajaan Australia tidak memahaminya berdasarkan bukti yang dikemukakan dalam kes ini," katanya kepada AFP. Hukuman berat tetap dikenakan walaupun pada penghujung minggu lalu, Perdana Menteri Australia, Tony Abbott sudah bercakap dengan pemimpin baru Mesir, Abdel Fattah al-Sisi. Sejak penggulingan Mohammad Mursi yang disokong Ikhwanul Muslimin pada Julai 2013, pemerintah di Mesir sangat terganggu dengan berbagai berita yang dilaporakan Al-Jazeera.