JAKARTA: Agensi Narkotik Nasional Indonesia (BNN) menahan beberapa suspek yang terbabit dalam sindiket dadah Malaysia-Iran yang mengembara di seluruh Indonesia. BNN menahan seorang suspek Iran pada Selasa yang memiliki kerakyatan British yang dikenali sebagai SHB selepas seorang lagi suspek Iran, MST ditahan pada 16 Jun, lapor Jakarta Post pada Sabtu. Jurucakap BNN, Sumirat Dwiyanto berkata MST ditahan di hadapan pejabat pos apabila dia mengambil bungkusan dari Iran yang mengandungi 25.07 gram kristal methamphetamine. Menurut kenyataan MST, dia menyertai perniagaan dadah pada Mei atas sebab kewangan dan SHB menawarkannya peluang untuk menjadi pembawa dadah. Sumirat berkata suspek mencampur methamphetamine dengan serbuk putih yang kelihatan seperti tepung apabila dihantar dari Iran ke Indonesia. MST ditawarkan 200 juta Rupiah (US$1,663) untuk melakukan kerja itu. MST kemudian menawarkan seorang lagi rakyat Iran 50 juta Rupiah untuk membantu mencari sebuah rumah untuk dijadikan tempat menyimpan dadah. Menurut polis, mereka merancang menjual dadah kepada sindiket di Aceh atas arahan seorang lelaki di Malaysia yang hanya dikenali sebagai MHR. Ekoran penahanan MST, polis menggeledah apartmennya di Kalibata di sini dan merampas 30 helai kertas putih yang polis percaya digunakan untuk menapis campuran methamphetamine dan serbuk putih.