suria

Larangan Berpuasa Timbul Kemarahan Umat Islam Xinjiang

Umat Islam di wilayah bergolak Xinjiang gagal mengawal perasaan berikutan larangan berpuasa yang dikeluarkan kerajaan China.
BEIJING: Keputusan kerajaan China melarang kakitangan awam, guru dan pelajar di wilayah Xinjiang berpuasa menimbulkan kemarahan umat Islam negara itu.


Notis berhubung perkara itu dimuatnaik menerusi laman web kerajaan, sejak bermulanya Ramadan, hujung minggu lalu.

Malah, ada juga stesen radio dan televisyen memaklumkan keputusan kerajaan itu terhadap penduduk wilayah bergolak itu.

Dalam satu kenyataan, jurucakap Kongres Dunia Uighur, Dilxat Raxit menyelar tindakan itu sebagai menyekat kebebasan beragama.

"Larangan menyekat orang Islam melaksanakan Rukun Islam itu hanya akan mencetuskan lebih banyak konflik di Xinjiang.

"Kami menggesa kerajaan menghentikan penindasan seumpama ini terutamanya ketika Ramadan," tegasnya.

Memetik laporan AFP, sejak beberapa tahun lalu, kerajaan pimpinan Parti Komunis mengenakan larangan berpuasa di Xinjiang yang didiami etnik minoriti Uighur.

Sementara itu, sebuah jabatan kaji cuaca di barat Xinjiang pula berkata di laman sesawangnya: “Sejajar dengan arahan pihak atasan, semua kakitangan sama ada yang masih berkhidmat atau sudah bersara diingatkan supaya tidak berpuasa pada Ramadan ini.”

Selain itu, pejabat kerajaan yang bertanggungjawab menguruskan Sungai Tarim pula memuat naik gambar pekerjanya yang memakai topi tradisional Uighur sedang makan.

“Walaupun gambar ini diambil pada bulan Ramadan, mereka yang digambarkan ini bersikap positif dan tidak berpuasa,” katanya.

China sebelum ini mendakwa larangan terhadap puasa adalah untuk memastikan kesihatan kakitangan kerajaan terjamin. 


China, Xinjiang, puasa

Artikel Lain