"Tanah runtuh berlaku di kawasan perlombongan haram Baya Biru Paniai. Sebanyak 15 orang tertumbus di bawah runtuhan," Ketua Polis Papua, Tito Karnavian dipetik sebagai berkata oleh Jakarta Globe pada Khamis.
Beliau berkata daripada 15 mangsa itu, tujuh ditemui mati sementara dua yang terselamat telah dikeluarkan daripada runtuhan.
Tito berkata polis masih meneruskan gerakan mencari baki enam orang mangsa.
"Kedua-dua mereka telah dipindahkan ke Hospital Besar Nabira dengan menggunakan helikopter pada pukul 4 petang, Rabu. Usaha mencari enam orang lagi masih dijalankan...kami tidak tahu keadaan mereka," kata Tito.
Beliau berkata tanah runtuh itu berlaku di kawasan terpencil di tengah-tengah hutan dan ini menyebabkan sukar untuk sampai ke tempat kejadian.
"Tidak ada isyarat telekomunikasi, satu-satunya jalan untuk sampai ialah dengan menaiki helikopter. Kami menerima berita mengenai bencana ini daripada polis Paniai," kata beliau.
Menurut Tito, penduduk tempatan di kawasan itu juga membantu anggota polis dan agensi mitigasi bencana mencari mangsa.