BANGKOK: Penemuan mayat mangsa rogol dan bunuh berumur 13 tahun pagi Selasa telah mengejutkan dan menimbulkan rasa marah rakyat Thailand dengan ramai menggesa supaya undang-undang dipinda bagi memperkenalkan hukuman mati terhadap perogol. Kes itu menjadi tajuk muka depan akhbar tempatan dan portal berita serta menjadi topik panas dalam laman sosial, Facebook dan Twitter, dengan semua lapisan rakyat negara ini melahirkan rasa simpati kepada keluarga mangsa. Ia turut menarik perhatian Majlis Keamanan dan Ketenteraman Awam Negara (NCPO) dengan jurucakapnya, Kolonel Wintai Suvaree berkata pengerusi majlis Jeneral Prayuth Chan-ocha melahirkan rasa simpati kepada keluarga remaja perempuan itu, dan telah mengarahkan pihak berkuasa menyelesaikan kes itu secepat mungkin. Prayuth turut mengarahkan agensi bertanggungjawab bagi keselamatan penumpang kereta api, agar tidak membiarkan kes seperti itu berulang, kata Wintai. Gabenor State Railway of Thailand (SRT) Prapas Chongsanguan pula berkata beliau akan meminta Pejabat Polis Diraja Thailand menambah anggota polis untuk memastikan keselamatan penumpang kereta api dan mencegah jenayah. Mangsa yang ditemani kakaknya telah menaiki kereta api pada pagi Ahad untuk perjalanan semalaman dari kampungnya di provinsi Suratthani di selatan untuk ke Bangkok sejauh 644km. Apabila kakaknya bangun pada pagi Isnin, dia mendapati adiknya telah hilang. Polis menahan seorang lelaki berumur 22 tahun, pekerja sebuah syarikat swasta yang diberikan kontrak membersihkan kereta api, dan dia mengaku telah merogol dan membunuh remaja perempuan itu dan mencampakkannya keluar daripada kereta api. Susulan pengakuan itu, polis melancarkan operasi mencari remaja perempuan itu dan mayatnya dijumpai atas landasan kereta api pada kira-kira 4 pagi ini di provinsi Prachuap Khiri Khan, kira-kira dua jam dari Bangkok.