suria

Setiausaha Luar Britain William Hague Letak Jawatan Buka Jalan Kepada Rombakan Kabinet

Setiausaha Luar Britain, William Hague

LONDON: Pemimpin kanan Parti Konservatif Britain, William Hague telah mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Setiausaha Luar Negara (Menteri Luar) berkuatkuasa serta merta dan hanya akan mengambil jawatan yang kurang menyerlah iaitu sebagai pemimpin Dewan Rakyat.

Hague adalah pemimpin Parti Konservatif dari 1997 hingga 2001 (ketika itu di dalam pembangkang) sebelum melepaskan jawatan tersebut ekoran kekalahan teruk kepada Parti Buruh dalam pilihan raya 2001.

Bagaimanapun peranan barunya nanti itu masih bertaraf anggota kabinet Perdana Menteri David Cameron (gambar). Beliau juga akan kekal sebagai anggota Majlis Keselamatan Negara yang biasanya dianggotai oleh pemimpin kanan kabinet.



Hague turut mengumumkan yang beliau tidak berhasrat untuk mempertahankan kerusi parlimennya dalam pilihan raya umum akan datang.

Britain akan memilih kerajaan semula pada Mei tahun depan.

Hague mengambil keputusan untuk mengumumkan peletakan jawatannya itu lebih awal sejurus sebelum Cameron mengumumkan rombakan kabinet besar-besaran sejak memimpin negara itu pada Mei 2010.

Selain Hague, turut membuat keputusan untuk meninggalkan kabinet ialah Setiausaha Kewangan, Kenneth Clarke, Damian Green (Menteri Kepolisian), Dominic Grieve (Peguam Negara), dan David Willetts (Menteri Sains dan Universiti).

Di dalam sistem pentadbiran Britain, setiausaha sesuatu jabatan/kementerian adalah seorang yang bertaraf menteri manakala jawatan menteri pula adalah kordinator yang bertanggungjawab ke atas sesuatu potfolio di dalam jabatan/kementerian berkenaan.

Menteri bertanggungjawab melaporkan kepada setiausaha. Bagaimanapun kedua-dua jawatan tersebut adalah lantikan politik dan kebiasaannya terdiri daripada anggota parlimen. Semua setiausaha jabatan/kementerian adalah anggota kabinet tetapi terdapat juga menteri yang dijemput menghadiri mesyuarat kabinet atas permintaan perdana menteri.

Kini dengan peletakan jawatan Hague sebagai setiausaha luar negara - suatu jawatan dalam kabinet yang dianggap kanan - Philip Hammond, yang merupakan setiausaha pertahanan Britain disebut-sebut akan dilantik mengantikan tempatnya.

Sebelum itu seorang demi seorang pemimpin kanan Konservatif dilihat masuk dan meninggalkan pejabat perdana menteri pada malam Isnin sekaligus mencetuskan spekulasi yang beliau akan membuat rombakan kabinet secara besar-besaran.

Sejak mengambil alih pemerintahan negara pada 2010, Cameron belum pernah membuat rombakan kabinet.

Tetapi keputusannya untuk melakukan rombakan ini menimbulkan seribu satu pertanyaan memandangkan pilihan raya umum akan datang dijadualkan berlangsung Mei tahun depan.

Ini bermakna, kabinet barunya nanti hanya akan berkhidmat untuk tempoh lebih kurang sembilan bulan sahaja.

Media-media massa Britain menyebut Cameron akan melantik lebih ramai wanita dalam kabinet barunya nanti - sekaligus memberi isyarat yang dia berhasrat untuk memenangi lebih banyak undi dan sokongan golongan wanita dalam pilihan raya akan datang.

Sebahagian besar anggota kabinet yang melepaskan jawatan atau digugurkan adalah terdiri daripada mereka yang sudah mencapai umur 'warga emas'.

Cameron dikatakan mahu barisan kabinetnya dianggotai oleh muka-muka baru yang lebih muda disamping wanita.

Lain-lain pemimpin kanan yang telah digugurkan daripada jawatan masing-masing ialah Sir George Young (ketua whip), David Jone (Setiausaha untuk wilayah Wales), Stephen Hammond (Menteri Pengangkutan), Hugh Robertson (Menteri di Jabatan Luar Negara), Nick Hurd (Menteri Untuk Masyarakat Madani), David Willetts (Menteri Sains dan Universiti) dan Andrew Robathan (Menteri Untuk Hal Ehwal Ireland Utara).

Sementara Alan Duncan (Menteri Pembangunan Antarabangsa) dan Greg Barker (Menteri Perubahan Alam Sekitar), yang memang dikenali sebagai penyokong kuat Cameron dalam pemilihan parti pada 2005 turut meninggalkan kerajaan secara sukarela.

Sementara itu Hague, dalam satu kenyataan berkata: "Menjelang pilihan raya umum akan datang iaitu pada Mei tahun depan, saya telah berkhidmat selama 26 tahun sebagai anggota Dewan Rakyat. Di dalam kerajaan perlu ada keseimbangan di antara pemimpin veteran dan muda dan saya telah memaklumkan kepada perdana menteri sejak musim panas yang lalu lagi bahawa saya tidak akan mempertahankan kerusi parlimen saya. Oleh yang demikian sekarang adalah masa yang sesuai untuk saya meninggalkan peranan aktif dalam kerajaan."


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain