JAKARTA: Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) Indonesia dijangka mengumumkan kemenangan Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi dalam pemilihan presiden republik itu, pada Selasa. Pengiraan undi oleh KPU di peringkat wilayah menunjukkan Gabenor Jakarta, Joko Widodo meraih 53.17 peratus undi, manakala Prabowo 46.83 peratus. “Kami akan menyiarkannya pada tarikh yang ditetapkan,” kata pesuruhjaya KPU, Arief Budiman kepada portal berita Indonesia, JPNN.com. Arief berkata, bahawa sehingga kini pengiraan dilakukan mengikut jadual dan kiraan undi di peringkat kebangsaan diadakan pada 20 hingga 22 Julai. Pesuruhjaya KPU, Sigit Pamungkas dipetik Reuters berkata: “Setakat ini kami tidak berhadapan dengan apa-apa yang akan menangguhkan pengumuman keputusan rasmi atau proses pengiraan semula.” Sebelum ini, pencabar Jokowi, Prabowo Subianto meminta supaya pengumumman rasmi itu ditangguhkan. Pengurus kempen Prabowo, Fadli Zon dalam satu sidang media menggesa KPU untuk menangguhkan pengumuman kerana mendakwa berlaku penyelewengan di sebilangan besar pusat undi. “Kami mendapati adanya penipuan struktur, besar-besaran dan dilakukan secara sistematik,” kata Fadli yang dipetik JPNN.com. Habiburokhman, seorang ahli pasukan perundangan Prabowo dan calon naib presiden, Hatta Rajasa pula mendakwa bahawa kira-kira 5,800 pusat undi disyaki melakukan penyelewengan dalam pilihan raya.