suria

'Turki Baharu' Janji Erdogan

Erdogan mengucapkan terima kasih kepada penyokongnya ketika diumumkan memenangi pilihan raya presiden Turki.
ISTANBUL: Perdana Menteri, Recep Tayyip Erdogan yang memenangi pilihan raya presiden berjanji di depan ribuan penyokongnya untuk membina 'Turki Baharu' dan memperbaiki situasi pecah-belah di negara itu.

Ikrar itu disampaikan di balkoni ibu pejabat partinya di Ankara pada tengah malam Isnin sejurus diisytiharkan menang secara tidak rasmi.


Menerusi perancangan ke arah era baharu yang dijanjikan Erdogan itu, beliau menggesa semua pihak berdamai selepas kempen pilihan raya yang ada kalanya pahit.

Beliau yang akan mengangkat sumpah jawatan pada 28 Ogos ini juga mahu menjadi 'Presiden Rakyat' dengan mendekatkan diri kepada rakyat dan berkhidmat untuk negara tanpa sebarang diskriminasi.

“Hari ini kita tinggalkan satu era dan mengorak langkah ke era baharu pula.

“Mungkin pandangan politik kita berbeza. Begitu juga gaya hidup, mazhab, nilai murni dan bangsa etnik, namun, kita semua warga Turki dan setiap seorang daripada kita adalah pemilik negara ini,” katanya dalam ucapan yang sememangnya menjadi tradisi setiap kali berlangsungnya pilihan raya presiden negara itu.

Erdogan mula berkhidmat sebagai perdana menteri sejak 2003 dan sentiasa berusaha memodenkan Turki untuk lebih menonjol di peringkat antarabangsa.

Pilihan raya pada Ahad lalu adalah pilihan raya presiden pertama dalam sejarah Turki.

Sebelum ini, presiden negara itu dipilih Parlimen.

Kemenangan Erdogan menimbulkan spekulasi mengenai siapa yang bakal menggantikannya sebagai perdana menteri.

Artikel Sebelum

Artikel Lain