suria

MH17: Rusia Persoal Kenapa Bukti Dari Kotak Hitam Masih Tidak Diumumkan

Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov

MOSCOW: Rusia pada Isnin mempertikaikan kenapakah hasil siasatan ke atas kotak hitam pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 masih belum didedahkan kepada umum sekaligus mendakwa bahawa itu sudah cukup menunjukkan yang masyarakat antarabangsa sudah hilang minat ke atas siasatannya.

Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov sebaliknya menuduh pasukan penyiasat antarabangsa tidak telus di dalam siasatan mereka.

Katanya, seluruh dunia ingin mengetahui kandungan rakaman kotak hitam pesawat tersebut tetapi sehingga sekarang tidak ada siapa yang tahu apa yang telah terjadi kepada kotak hitam tersebut.

Pesawat MAS Boeing 777 itu meletup di ruang udara Timur Ukraine pada 17 Julai lalu, dipercayai terkena tembakan peluru berpandu puak pemisah Ukraine pro-Rusia mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapalnya.

Kotak hitam itu yang diserahkan oleh puak pemisah berkenaan kepada wakil pihak berkuasa Malaysia dan antarabangsa yang tiba di tempat kejadian beberapa hari selepas itu kini berada di Farnborough, Britain untuk disiasat oleh Cawangan Siasatan Kemalangan Udara Britain.

"Malangnya tidak ada siapa yang memaklumkan kepada kita mengenai sebab mengapa kandungan kotak hitam itu tidak boleh didedahkan kepada umum keseluruhannya," tegas Lavrov dalam satu program televisyen di sini.

Beliau juga bertanya mengapa Ukraine masih merahsiakan rakaman perbualan di antara pihak kawalan udara di Dnepropetrovsk daripada pengetahuan umum.

Lavrov juga berkata yang Rusia telah menghubungi Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa, iaitu agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang telah membentuk sebuah badan petugas khas untuk mengemukakan syor-syor berikutan kejadian nahas tersebut, tetapi sehingga sekarang tiada ketelusan berhubung perkara itu yang dapat dilihat oleh mereka.

Beliau berpendapat, siasatan itu gagal untuk mencari bukti bagi mensabitkan Rusia di atas kemalangan tersebut.

Artikel Lain