BAGI memenangi hati rakyat, gadingan Joko Widodo dan Jusuf Kalla dinasihatkan supaya menjual kapal terbang rasmi ketika republik itu diterajui Presiden Susilo Bambang Yudhoyono. Perkara itu dikemukakan pada majlis pengumuman keputusan kajian yang dijalankan Lembaga Kaji Selidik Indonesia bertema, Ketempangan Pendapatan di Indonesia: Harapan Awam Terhadap Pemerintahan Jokowi - JK di Jakarta pada Selasa. Ahli politik Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), Maruarar Sirait berkata, pesawat itu wajar dijual sebaik kedua-dua pemimpin yang dikenali sebagai Jokowi dan JK itu mengangkat sumpah sebagai presiden dan naib presiden. “Saya cadangkan kapal terbang rasmi itu dijual untuk meningkatkan kecekapan perbelanjaan,” katanya. Selain itu, Maruarar berkata, pegawai kerajaan juga dinasihatkan supaya tidak menggunakan kelas pertama ketika menaiki kapal terbang untuk menjalankan tugas. “Langkah penjimatan perbelanjaan pegawai kerajaan penting, selain mengurangkan protokol. “Jika tidak melaksanakannya, pemimpin negara akan kelihatan tidak bersederhana, sedangkan rakyat pula hidup bersederhana,” katanya.