SANTIAGO (Chile): Dua bom buatan sendiri meletup di sebuah pusat membeli-belah di bandar peranginan Vina del Mar di Chile, sekali gus mencetuskan suasana panik selepas satu insiden letupan bom di stesen kereta api bawah tanah di Santiago yang mencederakan 14 orang. Letupan terbaharu itu berlaku pada Rabu di sebuah bilik mandi di pusat membeli-belah Open Plaza di Vina del Mar. Tiada kecederaan dilaporkan bagaimanapun ia berlaku kurang 24 jam selepas satu insiden letupan yang sama di luar pasar raya Tottus berhampiran yang mencederakan seorang wanita pada malam Selasa. Insiden letupan bom di Vina del Mar itu membimbangkan orang ramai selepas satu serangan yang berlaku di stesen kereta api bawah tanah Escuela Militar di ibu negara itu pada Isnin. Menurut polis, bom dalam kejadian letupan pada Selasa, diperbuat daripada botol plastik yang diisi dengan aluminium dan asid hidroklorik, telah diletakkan di dalam tong sampah, dilihat seperti yang peranti yang meletup di medan selera stesen kereta api bawah tanah pada Isnin. - AFP