suria

Guru Tangkap Anakonda Baham Anjing

SEORANG guru melalui saat yang sukar dipercayai apabila 'bergelut' dengan seekor anakonda sepanjang 5.2 meter dari sebuah sungai, beberapa jam selepas ular besar itu membaham anjing perliharaan rakannya.

Sebastian Bascoules, 39, masuk ke sungai yang cetek untuk mendapatkan ular membaham haiwan perliharaan itu.

Guru matematik itu yang tinggal di Matoury, French Guiana di Amerika Selatan, mengheret ular seberat 79 kilogram itu naik ke darat sebelum menutup kepalanya dengan sehelai kemeja-T.

Dia kemudiannya meletakkan ular itu di tab mandi semalaman sebelum membebaskannya di sebuah sungai, yang terletak kira-kira 10 kilometer.

Noam, Michel, Solal, Mano dan Sebastien Bascoules bergambar bersama ular besar yang membaham seekor anjing.

Menariknya, bapa kepada tiga anak itu membenarkan anak-anaknya, Noam, 11, Solal, lapan, dan Mano, lima, untuk berada dekat dengan ular besar tersebut.

Dia berkata: "Seorang kawan telefon saya dan memberitahu bahawa anjingnya, Minus, telah dibaham oleh seekora anakonda dekat rumahnya.

"Pada awalnya, saya tidak begitu takut kerana saya fikir ia lebih kecil, tetapi saya terkejut dengan kepanjangannya yang lebih lima meter.

"Sejak saya berusia 10 tahun, saya suka dengan haiwan reptilia ini tetapi kali ini merupakan ular terbesar yang pernah saya lihat dan pernah saya tangkap.

"Ia sungguh besar, jadi saya minta kawan saya untuk bantu saya menangkap ekornya. Jika tidak, ia akan membelit saya.

"Memandangkan ular itu telah menelan anjing itu, jadi ia begitu tenang sebelum saya menyentuhnya," katanya.

Kepala ular ditutup dengan sehelai kemeja-T.

Sebastian berkata, apabila dia dan jirannya membawa ular itu, waktu sudah agak lewat untuk memindahnya keluar dari kawasan kejiranan itu.

Jadi, dia membawa pulang ular itu ke rumah dan menyimpannya di tab mandi semalaman.

Dia berkata: "Isteri saya bimbang ular itu mungkin keluar dari bilik air pada waktu malam.

"Kita tidak perlu bimbang kerana saya sudah letakkan kain di kepalanya jadi ia 'buta' dan dilihat seperti seekor cacing yang besar."

Sebastian kemudian membebaskan anakonda itu keesokan harinya, kira-kira 10 kilometer jauh, ke sebuah sungai dekat paya.

Kejadian itu difahamkan berlaku pada tahun lepas tetapi rakaman video ini baharu sahaja dikeluarkan. - mirror.co.uk

anakonda

Artikel Sebelum

Artikel Lain