OTAKI: Lebih 30 pendaki ditemui dalam keadaan nazak berhampiran puncak gunung berapi Ontake yang meletus di tengah Jepun. Agensi berita Kyodo melaporkan, kumpulan pendaki ditemui selepas sehari ia memuntahkan debu, batu dan asap. Laporan berita itu juga menyebut kumpulan pendaki itu ditemui pasukan penyelamat ketika operasi mencari dan menyelamat di kawasan pergunungan itu. Helikopter tentera juga digunakan untuk membawa keluar mangsa kejadian itu, memetik kenyataan pegawai polis seperti dilaporkan Kyodo. Anggota bomba, polis dan tentera meneruskan operasi selepas empat mangsa disahkan maut dan sekurang-kurangnya 27 lagi dikhuatiri mati. Lebih 500 anggota penyelamat kembali ke gunung berapi itu selepas operasi berkenaan ditangguhkan berikutan wujud gas beracun yang berbahaya. Asap masih kelihatan di puncaknya tetapi helikopter mulai melakukan usaha mencari mangsa dari udara di gunung berapi yang popular dalam kalangan pengembara itu. Sekurang-kurangnya 31 orang dijumpai terbaring berhampiran puncak gunung berapi setinggi 3,067 meter itu, yang meletus Sabtu lalu. Empat daripada 31 orang itu dibawa turun dan kemudian disahkan mati. Semua mereka adalah lelaki berusia antara 23 hingga 61 tahun. Anggota penyelamat berusaha untuk membawa turun baki 27 orang lagi yang masih berada di gunung berapi itu yang dalam keadaan 'serangan jantung', ungkapan yang digunakan sebelum doktor mengesahkan kematian. Anggota bomba pula secara berasingan mengesahkan lebih 30 orang cedera akibat terkena batu yang berterbangan dan menghidu gas beracun. Agensi Meteorologi meramalkan bahawa letusan akan berlaku lagi, dan memberi amaran bahawa serpihan daripada letusan itu boleh menjangkau sejauh empat kilometer dari puncaknya.