HONG KONG: Pemimpin Hong Kong, Leung Chun-Ying akan mengadakan sidang media setengah jam sebelum kumpulan penunjuk perasaan pro-demokrasi menetapkan 'tempoh akhir' menggesa beliau meletakkan jawatannya, kata pihak berkuasa bandar pada Khamis. Chun-Ying, Ketua Pegawai Eksekutif Pentadbiran Hong Kong akan mengadakan sidang media tersebut bersama-sama dengan Ketua Setiausaha, Carrie Lim, pada pukul 11.30 malam, menurut maklumat yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Maklumat. Pasukan penunjuk perasaan pro-demokrasi menuntut, Chun-Ying meletakkan jawatan dan membantah tindakannya untuk menyerahkan jawatan yang disandangnya kepada pengganti beliau. Kumpulan berkenaan mengugut untuk menceroboh bangunan kerajaan pada tengah malam. Sementara itu, pasukan keselamatan telah bersiap sedia dengan gas pemedih mata dan peluru getah dalam menghadapi sebarang kemungkinan. Kumpulan penunjuk perasaan itu menentang keputusan Beijing bulan lalu bahawa calon dalam pilihan raya 2017 perlu disahkan terlebih dulu oleh jawatankuasa yang sebahagian besarnya terdiri daripada golongan elit pro-Beijing. Payung menjadi simbol pergerakan bantahan awam di Hong Kong di mana penunjuk perasaan menggunakan payung untuk mengelakkan semburan gas pemedih mata daripada pihak polis. Selain itu protes berkenan turut diadakan di luar Hong Kong termasuk di beberapa lokasi seperti New York, Paris serta Sweden bagi menyokong penunjuk perasaan pro-demokrasi di Hong Kong.