TOKYO: Pasukan penyelamat pada Selasa telah menemui dua mayat lagi di bawah timbunan abu gunung berapi di tengah negara ini menjadikan jumlah korban Gunung Berapi Ontake kepada 53 orang. Menurut laporan agensi berita antarabangsa AFP, 12 orang pendaki lagi masih diklasifikasikan sebagai 'hilang' dan nasib mereka tidak diketahui sewaktu berita ini ditulis. Gunung berapi tersebut yang terletak di wilayah Nagano di tengah Jepun, mula meletus tanpa tanda-tanda amaran awal pada 27 September lalu ketika ramai pendaki sedang mendakinya. Sejak letusan yang pertama itu, usaha mencari dan menyelamat telah melibatkan lebih seribu anggota polis, askar, jabatan pertahanan awam, bomba dan pasukan penyelamat yang lain. Selepas seminggu gunung berapi tersebut meletuskan asap dan debu, ia telah membentuk lapisan lumpur setinggi paras lutut yang menyukarkan lagi pasukan mencari dan menyelamat melaksanakan operasi. Sebahagian besar mangsa Gunung Ontake setinggi 3,067 meter (10,121 kaki) itu mati ketika mereka sedang menikmati makan tengah hari di puncak di bawah panas matahari musim luruh.