suria

Putin: Jangan Cuba Peras Ugut Rusia

Putin dan Obama...kini hubungan kedua-duanya semakin rengang dengan Amerika mendesak negara Kesatuan Eropah mengenakan sekatan dagangan ke atas Rusia kerana peranan Rusia dalam krisis dalaman Ukraine.

BELGRADE (Serbia): Presiden Rusia, Vladimir Putin mengingatkan rakan sejawatannya dari Amerika, Barack Obama supaya jangan cuba memeras ugut Rusia dengan cara menggunakan pendekatan bermusuhan dalam menangani isu berkaitan Ukraine.

Bercakap dalam satu temuramah dengan akhbar Serbia Politika ketika lawatannya ke negara itu sekarang, Putin menegaskan bahawa barat terutamanya Amerika sedang menggunakan pendekatan bermusuhan terhadap Rusia.

Malah Putin menyifatkan tindak-tanduk Amerika sekarang menghasut negara-negara Eropah khususnya dari kalangan bekas blok Kesatuan Soviet supaya beralih kearah Nato (negara-negara perjanjian Atlantik Utara) sebagai tidak bertanggungjawab dan percubaan untuk menjejaskan kestabilan di rantau tersebut.

Putin kini berada di sini untuk meraikan ulang tahun ke-70 pembebasan Serbia dari pendudukan Nazi Jerman.

Serbia adalah sekutu rapat Rusia kerana kedua-dua negara itu berkongsi jalinan keturunan yang serupa iaitu etnik Slav.

Putin melihat ucapan Obama sewaktu Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York bulan lalu yang menyebut pencerobohan Rusia ke atas wilayah Timur Ukraine sebagai ancaman paling tinggi ke atas keamanan global setaraf dengan ancaman puak militan negara Islam (IS) dan juga Ebola sebagai satu bentuk peras ugut ke atas negaranya.

"Tidak ada istilah lain tentang pendekatan (Amerika) seperti itu melainkan pendekatan menentang (Rusia)," tegasnya.

"Dan kita berharap, rakan kita yang lain dapat memahami tindakan seperti ini adalah tindakan untuk memeras ugut Rusia dan ingat, apa perbalahan antara dua kuasa nuklear ini boleh lakukan ke atas kestabilan strategik," ujarnya lagi.

Putin menyifatkan percubaan oleh blok Barat untuk mengasingkan Rusia dalam krisis di Ukraine sejak enam bulan yang lalu adalah satu tindakan yang sama sekali tidak masuk akal dan merupakan satu matlamat yang palsu.

Dalam temuramah itu Putin turut mendakwa yang Washington cuba untuk campur tangan dalam urusan negaranya.

Putin, yang dijadualkan untuk bertemu pemimpin Ukraine, Petro Poroshenko di Milan, Itali pada Jumaat menyeru Kiev supaya memulakan sesi dialog di seluruh negara dengan menegaskan bahawa sekarang adalah peluang terbaik untuk menghalang konfrantasi militari dan perang saudara di negara tersebut.

Putin sekali lagi menegaskan yang Moscow bersedia untuk mengenepikan apa jua perbezaan dengan Washington dengan syarat biarlah ia benar-benar ikhlas dan bukannya sesuatu yang penuh dengan muslihat.

Blok Barat mula mencurigai Rusia apabila ia membantu etnik Rusia di Ukraine merampas kuasa di Semenanjung Crimea pada Mac lalu sebelum wilayah itu kemudiannya mengundi dalam satu referendum untuk bercantum dengan Rusia sebagai sebuah wilayah khas.

Selepas itu Rusia terlibat dalam membekalkan peralatan senjata kepada etnik Rusia di Timur Ukraine pula sekaligus mencetuskan kemarahan Ukraine yang kini adalah sekutu Barat dan Nato.

Sebagai bekas anggota Kesatuan Soviet, Ukraine adalah juga bekas sekutu Rusia. Bagaimanapun situasi ini berubah sebaik sahaja pemimpin Ukraine pro-Rusia digulingkan oleh puak pro-Barat awal tahun ini yang menyaksikan Rusia mula memperlihatkan tindakan ketenteraan dengan alasan untuk melindungi etnik Rusia yang mendiami wilayah Timur Ukraine dan Semenanjung Crimea.

Sebelum itu, hubungan Rusia-Amerika sedikit pulih ketika negara itu di bawah pimpinan Dmitry Medvedev tetapi sebaik sahaja Putin kembali sebagai presiden untuk kali yang ketiga pada 2012, ia kembali dingin.

Situasi terbaru ini semua meletakkan Rusia dalam keadaan yang sukar dan terasing apabila Amerika dan Kesatuan Eropah (EU) mula menggenakan sekatan ekonomi sebagai senjata terakhir.

Bagaimanapun sekutu Rusia seperti Serbia enggan mematuhi permintaan sekatan ekonomi sebaliknya menghulurkan tangan pada saat-saat getir seperti ini.

Putin cuba membalas balik jasa baik Serbia ini dengan berkunjung ke negara itu ketika mereka bersiap-sedia untuk meraikan ulang tahun ke-70 pembebasan daripada penjajahan Nazi.

Kehadiran Putin merupakan satu simbolik yang amat bermakna bagi Serbia dan beliau akan diberikan sambutan karpet merah di sini malah akan diberikan penghormatan untuk menyampaikan ucapan ketika perarakan lebih 3,000 anggota tentera.

"Obligasi bersama kami ialah untuk menunjukkan penentangan kami ke atas sebarang pengagungan Nazisme dan juga usaha untuk mengembalikan semula apa yang terjadi selepas Perang Dunia Kedua," kata Putin merujuk kepada munculnya gerakan "neo-Nazism" di wilayah Baltik dan juga Ukraine.

EU yang membuat deklarasi Putin sebagai seorang yang tidak dapat diterima oleh sesebuah negara buat selama-lamanya setelah didapati melakukan kesalahan (jenayah) yang tidak dapat dimaafkan ke atas Ukraine, secara berterus-terang memberitahu Belgrade supaya negara itu membuktikan meritnya terlebih dahulu sebagai negara bakal anggota.

Sejak tercetusnya krisis di Ukraine, Serbia cuba untuk mengimbangi obligasinya ke atas EU dan pada masa yang sama mengekalkan hubungan baik dengan Moscow.

Bagi Rusia pula, adalah penting untuk memastikan penyertaan Serbia dalam EU tidak akan menjejaskan kepentingan Moscow.

Rundingan berhubung penyertaan Serbia sebagai anggota EU sudah bermula Januari lalu.

"Misi utama lawatan Putin ke Serbia adalah untuk memperkukuhkan jalinan yang sedia ada sekarang yang mana isu bahan bakar akan menjadi agenda utama (Rusia adalah pengeksport utama Gas dunia)," kata Pengarang majalah Global Affairs Rusia, Fyodor Lukyanov, kepada agensi berita AFP.

Rusia telah menandatangani perjanjian dengan Serbia pada 2008 untuk membina laluan paip gas baru tetapi projek yang sepatutnya bermula tahun ini tertunda sementara menunggu persetujuan antara Moscow dengan EU.

EU enggan memberi kebenaran kepada pembinaan saluran paip gas itu dengan alasan ia tidak mematuhi piawaian dan standard EU.

Selain kerjasama ekonomi, Rusia dan Serbia terikat dengan kerjasama ketenteraan yang menyaksikan Rusia mempunyai kemudahan pangkalan udara di Serbia.

Moscow turut menyalurkan bantuan kewangan kepada Serbia dengan memberikan kemudahan pinjaman sehingga AS$1.3 bilion untuk pembinaan infrastruktur kereta api.

Rusia adalah rakan dagang luar Serbia yang ketiga terbesar melibatkan dagangan hampir AS$3 bilion setahun.

Artikel Lain