JAKARTA: "Kerja...kerja dan kerja," itu ungkapan pertama yang dilaungkan oleh Joko Widodo sebaik sahaja mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia ketujuh pada pagi Isnin. "Ini masanya kita bersama bekerja, bekerja dan bekerja," ulangnya kemudian di Parlimen negara itu. Beliau yang dikenali sebagai Jokowi turut meminta kesemua rakyat bersatu untuk meningkatkan martabat negara itu dalam bidang politik dan ekonomi. "Saya akan bekerja untuk memastikan kerajaan dapat membela rakyat dengan sebaik mungkin. "Negara akan menjadi lebih kuat jika semua institusi bekerja berdasarkan fungsinya," jelasnya. Beliau berkata, pentadbirannya akan berusaha mengembalikan kegemilangan negara itu dalam perusahaan laut termasuk memberi tumpuan terhadap pembangunan sektor marin. Majlis angkat sumpah presiden itu turut dihadiri oleh pemimpin serantau seperti Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak.