SINGAPURA: Lapangan Terbang Changi Singapura mencatatkan pergerakan penumpang sebanyak 4.25 juta pada September 2014, turun sebanyak 0.5 peratus tahun ke tahun, menurut statistik dikeluarkan oleh Changi Airport Group (CAG) pada Isnin. CAG berkata ia turut mencatatkan pendaratan dan pelepasan pesawat merosot sebanyak lima peratus kepada 27,020. Mengenai kargo, statistik menunjukkan 147,800 tan muatan udara diproses pada bulan lepas, 2.7 peratus lebih rendah berbanding tahun sebelumnya. Dalam tempoh bulan tersebut, trafik ke Asia Selatan dan Timur Laut Asia, masing-masing berkembang sebanyak 11 peratus dan dua peratus, bagaimanapun rantau lain, termasuk Asia Tenggara, Afrika dan Amerika, menyaksikan pergerakan penumpang yang rendah. Antara 10 pasaran negara Lapangan Terbang Changi, India mencatatkan pertumbuhan dua angka, manakala trafik China dan Thailand menyusut, masing-masing turun enam peratus dan sembilan peratus, tahun ke tahun. Pada tiga suku pertama tahun ini, 40.09 juta penumpang melakukan perjalanan melalui Lapangan Terbang Changi, lebih 0.9 peratus berbanding tempoh sama pada 2013. Pergerakan pesawat sejajar dengannya, berkembang sebanyak 0.6 peratus kepada 255,260. Pada tempoh sama, penghantaran kargo berjumlah 1.37 juta tan, pertumbuhan sebanyak 0.3 peratus. Pertumbuhan trafik penumpang pada sembilan bulan pertama tahun ini didorong oleh permintaan perjalanan yang kukuh di laluan Timur Laut Asia, Asia Selatan dan barat daya Pasifik. Trafik Asia Tenggara mencatatkan sedikit perubahan bagi tempoh sama berikutan pertumbuhan bagi Indonesia, Malaysia dan Vietnam diimbangi oleh 15 peratus penurunan bagi Thailand. Jakarta terus berada di tangga teratas dalam laluan paling sibuk Lapangan Terbang Changi pada tahun ini, diikuti Hong Kong, Kuala Lumpur, Bangkok dan Manila. Trafik ke dan dari Denpasar-Bali mencatatkan lebih 20 peratus pertumbuhan bagi tempoh sembilan bulan pertama, tertinggi dalam kalangan 10 destinasi utama Lapangan Terbang Changi. Dalam tempoh 12 bulan mengakhiri September 2014, Lapangan Terbang Changi mencatatkan 54.1 juta penumpang, mewakili pertumbuhan sebanyak 1.5 peratus daripada tahun lepas. Sehingga 1 Okt, 2014, lebih 100 syarikat penerbangan beroperasi di Lapangan Terbang Changi, menghubungkan Singapura kepada lebih 300 bandar di kira-kira 70 negara dan wilayah di seluruh dunia. Dengan lebih 6,400 penerbangan berjadual mingguan, sebuah pesawat berlepas atau mendarat di Changi kira-kira sekali setiap 90 saat.