CAPE CANAVERAL: Roket angkasa lepas komersial, Antares yang menghantar bekalan ke Pusat Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) meletup hanya enam saat sebaik dilancarkan, awal pagi Rabu. Kepulan asap dan api yang marak dapat dilihat dengan jelas sekitar Florida akibat letupan roket kargo Cygnus yang membawa muatan 2,267 kilogram bahan untuk kegunaan enam angkasawan yang tinggal di ISS. Senario sebelum Antares meletup di Wallops Island. Ia adalah perjalanan keempat membawa kapal angkasa Cygnus ke makmal orbit, roket itu melakukan perjalanan pertamanya setahun lalu. Roket angkasa Orbital Sciences Corp tanpa pemandu itu setinggi 14 tingkat bangunan itu meletup dan terbakar di kompleks pelancaran angkasa lepas Wallops Island, Virginia pada jam 6.22 petang waktu tempatan. Syarikat pemiliknya berkata, setakat ini tiada kecederaan dilaporkan dan kerosakan yang berlaku hanya membabitkan kemudahan di tapak pelancaran itu. NASA membiayai misi roket angkasa yang dimiliki syarikat Orbital Sciences yang berpangkalan di Virginia dan syarikat Space-X berpangkalan di California untuk memastikan stok di ISS. Setakat ini punca kejadian masih tidak diketahui, demikian menurut pengulas misi pelancaran NASA, Dan Huot.