RAMALLAH: Aktivis Palestin memberi jaminan pihaknya akan terus mempertahankan al-Aqsa dan Baitulmaqdis Timur yang semakin terancam berikutan rancangan jahat Israel untuk merampas kota penuh bersejarah itu. Sejak Khamis, kumpulan penunjuk perasaan mengadakan protes bagi membantah keputusan menutup Masjid al-Aqsa di mana lebih 100 penduduk Palestin ditahan di pekarangan masjid itu. Berikutan tindakan itu, pertempuran ganas berlaku antara penduduk Palestin dan pihak berkuasa Israel di Tebing Barat. Terkini, sekurang-kurangnya seorang cedera dan beberapa lain mengalami sesak nafas akibat terkena gas pemedih mata dan bom tangan yang dilepaskan rejim Zionis. Salah seorang aktivis Palestin, Esam Baker berkata, mereka tidak akan membiarkan kota lama itu dimusnahkan atau ditutup. "Kami tidak akan berdiam diri jika ada pihak yang cuba mencemari kesucian al-Aqsa," katanya yang dipetik Press TV. Difahamkan, pihak berkuasa Israel menutup pekarangan masjid itu selepas berlaku kejadian cubaan bunuh ke atas aktivis, Yehuda Glick yang didakwa mendalangi tindakan provokasi ke atas al-Aqsa.