suria

Jokowi, Famili Serba-Serbi Sederhana

Iriana (kanan) bersama Kahiyang dan Kaesang dengan gaya santai.
JAKARTA: Kesederhanaan dalam kehidupan terus menjadi pegangan Presiden Indonesia yang baharu, Joko Widodo, selain isteri serta tiga anaknya.


Walaupun pernah menjadi ahli perniagaan berjaya, Jokowi, 53, tidak mahu anak-anaknya terlalu merasai kemewahan kerana perkara paling utama adalah pendidikan, malahan isterinya, Iriana turut seiring apabila serba serbi sederhana dalam menjalani kehidupan harian.

Berusia 51 tahun, wanita pertama republik itu selesa mengenakan pakaian dan seluar ringkas, bukan seperti wanita pertama lain yang mengutamakan jenama.

Anak lelaki sulungnya yang berusia 27 tahun pula mempunyai perniagaan katering di kampung mereka di Solo dan hanya memandu kereta ‘hatchback’.

Kesibukan menguruskan perniagaannya menyebabkan pemuda ini tiba di sini beberapa hari sebelum pelantikan Jokowi pada 20 Oktober lalu.

Lebih menarik lagi insiden ketika anak perempuan Jokowi, Kahiyang Ayu, 23 mengalami kecederaan di tangan.

Dia tidak mahu dibawa ke klinik swasta sebaliknya meminta dibawa ke pusat kesihatan biasa dan sanggup menunggu untuk mendapat rawatan.

Bagi anak bongsu Jokowi, Kaesang Pangarep, 17 pula, walaupun peluang melanjutkan pengajian ke Singapura, dia masih diajar berdisiplin dan tidak pernah dimanjakan dengan wang.

“Saya jarang menaiki kereta api MRT kerana kosnya lebih mahal berbanding bas. Ibu pernah menolak permintaan untuk menambah wang saku, namun dia berkata sengaja tidak memberikan elaun yang banyak supaya saya dapat belajar betapa susahnya hidup di negara lain,” katanya dalam blognya.







Jokowi, Solo, Kahiyang Ayu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain