RIGA: Menteri Luar Latvia, Edgars Rinkevics mencipta sejarah sebagai ahli politik yang pertama negaranya membuat pengakuan terbuka yang dia adalah seorang gay. Beliau menyatakan demikian dalam beberapa siri 'tweets' yang dimuatnaikkannya sendiri. "Saya dengan rasa bangga ingin mengumumkan bahawa saya adalah seorang gay...," katanya pada lewat malam Khamis. Pengakuan terbukanya itu telah menjadi viral dalam laman sosial twitter. "Negara kita perlu membentuk satu kerangka undang-undang untuk semua jenis pasangan dan saya akan memperjuangkan hak ini," ujarnya lagi. Latvia yang mempunyai hanya dua juta penduduk adalah sebuah negara Baltik bekas sekutu Kesatuan Soviet yang konservatif. Rinkevics, 41, sebelum ini pernah menjadi sasaran kempen memburuk-burukkannya berhubung orientasi seksnya. Ketika pilihan raya parlimen bulan lalu, dia sekali lagi menjadi sasaran kempen anti-gay. Latvia bersama-sama dua lagi negara Baltik iaitu Lithuania dan Estonia telah menyertai Kesatuan Eropah pada 2004 selepas mereka merdeka ekoran perpecahan Kesatuan Soviet pada tahun 1990-91.