suria

Polis Temui Bahan Kimia Beracun Di Rumah 'Black Widow' Jepun

Gambar Kakehi pada Mac lalu ketika bercakap kepada pemberita di Sakai, di barat Jepun. Kakehi ditahan kerana disyaki meracun suaminya dengan bahan kimia pada tahun lepas. Foto AP

TOKYO: Polis Jepun pada Khamis menahan seorang wanita yang disyaki meracuni suaminya yang terbaharu selepas enam suaminya sebelum ini turut meninggal dunia, selepas satu serbuan dilakukan di kediaman seorang jutawan berusia 67 tahun.

Dilaporkan bahawa bahan kimia beracun dijumpai di tong sampah di kediaman itu.

Turut dilaporkan sekumpulan penyiasat memasuki rumah milik Chisako Kakehi di Kyoto, selepas sehari penahanannya ekoran kes terbaharu 'black widow' (wanita yang membunuh pasangannya).

Menurut laporan agensi berita Jiji Press, Kakehi memiliki harta sejumlah AS$6.8 juta (RM22.9 juta) sejak dua dekad lalu, meliputi wang insurans dan aset-aset lain yang diterimanya selepas kematian tujuh pasangannya sebelum ini, termasuk suaminya yang terbaharu.

Suami keempatnya, Isao Kakehi secara tiba-tiba jatuh sakit di rumahnya dan disahkan meninggal dunia di hospital pada Disember tahun lepas, kurang dua bulan selepas pasangan itu berkahwin.

Satu bedah siasat dijalankan dan menemui bahan kimia dengan kandungan toksik yang tinggi di dalam darah mendiang.

Wanita itu bagaimanapun menafikan dia mempunyai kaitan dengan kematian suaminya.

Kakehi memberitahu akhbar Sankei sebelum dia ditahan: "Saya tidak melakukannya. Kenapa saya perlu saya lakukan apa sahaja yang menyebabkan saya ditahan kerana kematian suami saya. Saya bukannya bodoh."

Bedah siasat dilakukan selepas kematian teman lelakinya berusia 75 tahun, yang secara tiba-tiba jatuh sakit selepas pasangan itu makan bersama di sebuah restoran pada September lalu.

Kes Kakehi bermula pada 1994 apabila suami pertamanya meninggal dunia pada usia 54 tahun.

Jiji Press melaporkan bahawa pada 2006, suami keduanya yang dikenali menerusi agensi perkenalan, meninggal dunia akibat strok pada usia 69 tahun, manakala perkahwinan ketiganya berakhir pada 2008 dengan kematian pasangannya yang berusia 75 tahun.

Seorang teman lelakinya, yang dipercayai menghidapi penyakit kanser, meninggal dunia setahun selepas itu, dan tunangnya pula meninggal dunia selepas jatuh pengsan ketika menunggang motosikal pada 2012.

Jika Kakehi didapati terlibat dengan kematian kesemua pasangannya, dia akan menjadi 'black widow' yang terbaharu di Jepun.

Pada 2012, Kanar Kijima dijatuhkan hukuman gantung kerana membunuh tiga lelaki, berusia 41, 53 dan 80, yang dikenalinya menerusi laman web janji temu di Internet. - AFP



black widow

Artikel Lain