BANDA ACHEH: Hampir 10 tahun berlalu, tsunami yang melanda Acheh masih menghantui penduduknya termasuk Rahmawati Zainuddin. Rahmawati yang berumur 8 tahun ketika itu, masih tidak dapat melupakan peristiwa tersebut yang berlaku pada tanggal 26 Disember 2004 yang meragut nyawa ibu bapa dan dua abangnya. Dia yang kini tinggal di Rumah Anak Yatim Dayah Darul Ulum Al-Fata di Kampung Kayee Kunyet yang terletak 25 kilometer dari laut, yang dibangunkan Mercy Malaysia masih merasa sebak apabila menceritakan detik-detik itu kepada Bernama. Dia ketika itu berada di rumah dan sejurus gempa bumi kuat berlaku, di diarahkan keluarganya untuk melarikan diri ke kawasan tinggi berhampiran. Dan itulah kali terakhir dia melihat ibu bapa dan abang-abangnya. Sepupunya Mokhtar Lutfi Abdul Rashid, 27, yang tinggal di penempatan yang sama mengiyakan bahawa Rahmawati masih lagi trauma dengan kejadian itu. Mokhtar Lutfi melihat sepupunya Rahmawati yang sedang menjahit telekung di Rumah Anak Yatim Dayah Darul Ulum Al-Fata di Kampung Kayee Kunyet. "Dia akan menangis sepanjang hari. Kadang kala bila dia tidak dapat menahan kesedihan, dia akan pengsan. Pada awal-awal dia masuk ke rumah ini, dia tidak bercakap selama dua tahun, namun lama-kelamaan dia semakin pulih," katanya. Bagi dirinya, Mokhtar kehilangan bapa dan seorang kakak. Ibu dan seorang lagi kakaknya masih menetap di kampung halaman mereka di Acheh Jaya sementara dia memilih untuk menetap di rumah anak yatim ini bagi membantu dan membimbing anak yatim yang lain. Di Darul Ulum Al-Fata, anak-anak yatim yang kebanyakannya kehilangan ibu bapa akibat bencana tsunami turut memberi kemahiran seperti menjahit dan bercucuk tanam kepada penghuninya, Menurut ketua pimpinannya Marwan Abdullah, 47, melalui bantuan dana Mercy Malaysia, beliau berjaya mewujudkan pusat bengkel menjahit yang mempunyai lebih 10 mesin jahit bagi menghasilkan telekung untuk dijual.