PANGKALAN BUN: Dua penyelam pada Rabu bertindak nekad meredah arus bergelora di Selat Karimata di sini bagi mendapatkan dua objek besar dipercayai badan pesawat milik AirAsia Indonesia yang terhempas sejak lebih seminggu lalu. Kapal tentera laut Amerika Syarikat, USS Forth Worth pada Selasa berjaya mengesan dua objek besar yang berada di kedalaman 28 meter selat berkenaan dan iadipercayai bangkai pesawat QZ8501. "Kami akan mula mengenalpasti objek tersebut yang kelihatan seperti bangkai pesawat secepat mungkin," kata Timbalan Ketua Operasi Agensi Mencari dan Menyelamat Indonesia, Tatang Zainuddin. Tambahnya, pasukan penyelam turut dilengkapi kenderaan kawalan jauh yang mampu merakam gambar objek dikesan ketika turun ke dasar laut. Setakat ini, sebanyak tujuh objek besar di dasar laut telah dikesan oleh sonar, tetapi arus deras dan penglihatan yang terhad menghalang usaha penyelam untuk mendekatinya. Zainuddin memberitahu, walaupun operasi diteruskan setiap hari, namun keadaan cuaca mengecewakan penyelam untuk turun ke dasar laut. Pada Selasa, pihak penyelamat berjaya menemui sebanyak dua mayat, menjadikan jumlah keseluruhan yang telah ditemui ialah sebanyak 39 mangsa. Penerbangan QZ8501 dari Surabaya ke Singapura hilang dari radar pada Ahad lalu sebelum disahkan terhempas di lautan Jawa pada hari ketiga pencarian. Ketika kejadian pesawat milik AirAsia Indonesia itu membawa seramai 162 penumpang dan anak kapal.