PARIS: Akhbar satira Perancis yang kakitangannya terkorban dalam serangan pada Rabu tetap akan disiarkan mengikut jadual minggu depan, demikian menurut salah seorang kakitangannya yang terselamat. Kolumnis akhbar itu Patrick Pelloux berkata, Charlie Hebdo akan diterbitkan seperti biasa pada Rabu depan bagi menunjukkan bahawa 'kebodohan tidak akan menang'. Tambah beliau, kakitangan Charlie Hebdo yang terselamat akan mengadakan perbincangan mengenainya dalam masa terdekat. "Ia amat sukar. Kami semua hadapi penderitaan, kesedihan dan ketakutan...tetapi kami akan tetap teruskannya (cetak) kerana kebodohan tidak akan menang," katanya pada Khamis. Dalam insiden pada Rabu, 12 terbunuh termasuk lima kartunis dan dua anggota polis.