PARIS: Dua suspek adik beradik yang mengakibatkan 12 orang terbunuh dalam satu serangan di Paris, menahan seorang tebusan pada Jumaat apabila polis mengepung kedua-dua lelaki bersenjata terbabit di ibu negara itu. Menurut sumber polis, penahanan tebusan itu berlaku di sebuah syarikat percetakan di pekan Dammartin-en-Goele, kira-kira 12 kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Charles de Gaulle. Kejadian itu turut menyaksikan insiden tembakan di timur laut Paris. Bagaimanapun, pendakwa raya memberitahu AFP bahawa tiada kemalangan jiwa dilaporkan di dalam insiden tembakan tersebut. Suspek dikatakan merampas sebuah kereta Peugeot 206 di Montagny-Sainte-Felicite daripada seorang wanita yang mengenali mereka sebagai dua lelaki yang dikehendaki polis, kata sumber polis. Pemburuan terhadap suspek dilakukan secara besar-besaran selepas insiden pada Rabu lepas apabila suspek yang bersenjata api dan bertopeng melepaskan tembakan di pejabat Charlie Hebdo di Paris sehingga menyebabkan 12 orang terbunuh dan tiga lagi cedera parah. - AFP