PANGKALAN BUN: Selepas beberapa kali gagal, akhirnya pasukan penyelam Tentera Nasional Indonesia (TNI) berjaya mengapungkan ekor pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 ke permukaan air pada tengah hari Sabtu. Nyata langkah menggunakan beg pelampung tambahan dalam operasi itu dapat mengapungkan bahagian pesawat itu sekitar jam 11.50 tengah hari (Waktu Indonesia Barat). Kompas.com melaporkan bahagian ekor pesawat yang berwarna merah tua, di mana terletaknya kota hitam dan alat perakam penerbangan pesawat, dilihat tenggelam timbul di permukaan air yang berombak. Operasi mengangkat naik ekor pesawat ini dari dasar Selat Karimata dimulakan sejak Khamis tetapi keadaan arus air di dasar laut yang deras menyebabkan usaha itu terbantut. Proses mengangkat ekor pesawat itu dimulakan pasukan penyelam dengan mengikat beberapa beg pelampung. Terdahulu, penyelam juga cuba untuk mencari kotak hitam pada bahagian itu tetapi gagal berikutan arus air yang deras serta jarak pemandangan terhad di dasar laut. Pengesanan sonar menerusi Kapal Navigasi Jadayat sebelum ini menjangkakan kemungkinan kotak hitam itu sudah terpisah daripada bahagian ekor pesawat.