PARIS: Masyarakat Yahudi di Perancis yang kini berjumlah 500,000 orang dilaporkan bersedia untuk menimbang berhijrah ke Israel kerana merasakan masa depan mereka lebih selamat dan terjamin di sana. Walaupun Israel sentiasa berkonflik dengan masyarakat Palestin tetapi mereka merasakan diri mereka lebih terancam di Perancis, demikian lapor akhbar The New York Times, pada Selasa. Ini berikutan insiden serangan ke atas sebuah pasar raya milik Yahudi di pinggir bandar ini Jumaat lalu yang menyaksikan empat orang pelanggan terbunuh. Insiden itu terjadi dua hari selepas dua orang militan menyerang dan membunuh 12 orang awam termasuk kakitangan sebuah syarikat penerbitan mingguan di sini yang seringkali menyiarkan kartun berbentuk provokatif ke atas Nabi Muhammad, agama Islam malah ke atas agama-agama lain. Pengarang majalah mingguan tersebut yang turut terbunuh dalam insiden serangan berkenaan adalah seorang berfahaman komunis. Dua insiden yang berlaku itu antara lain telah menyebabkan seorang warga Perancis berketurunan Yahudi, Jacqueline Cohen menyifatkan situasi semasa bagaikan 'perang ke atas bangsanya'. Jacqueline yang merupakan pemilik sebuah kedai barangan seni di kawasan petempatan Yahudi bernama Rue des Rosiers di sini bersama beberapa rakan niaganya yang lain terpaksa menutup perniagaan mereka kerana khuatir menjadi mangsa serangan. “Selepas apa yang berlaku di Paris baru-baru ini, kami mungkin berasa lebih selamat berada di tengah-tengah bandar Tel Aviv (ibu negara Israel) berbanding di sini," ujarnya sebagaimana yang dipetik oleh New York Times. Di sana katanya, terdapat sistem amaran ancaman dan sistem anti-misil yang boleh melindungi orang ramai daripada serangan roket. “Tetapi di sini kami tidak berani untuk menghantar anak-anak ke sekolah kerana kami mungkin akan menjadi mangsa seterusnya," ujarnya lagi. Perasaan tidak selamat ini sangat mendesak sehinggakan Kongres Yahudi Eropah mengesyorkan agar empat mangsa tembakan yang terbunuh di pasar raya itu dibawa pulang ke Isreal untuk dikebumikan kerana khuatir yang kubur mereka kelak akan dijarah. Setiausaha Agung Kongres Yahudi Eropah, Serge Cwajgenbaum dipetik sebagai berkata yang insiden serangan di pasar raya mereka itu adalah puncak kepada segala ancaman kepada bangsa Yahudi di Perancis selepas insiden melemparkan bom api ke atas rumah ibadat mereka serta kedai. Pada tahun 2012, seorang warga Perancis berketurunan Arab Algeria menembak mati tujuh orang termasuk tiga kanak-kanak dan seorang guru agama di sebuah sekolah Yahudi di bandar Toulouse. Pada Mei tahun lalu, seorang warganegara Perancis didakwa menembak mati empat orang di Muzium Yahudi di Brussels, Belgium. Tahun lalu juga, Yahudi Perancis adalah kumpulan yang paling ramai berhijrah ke Israel, iaitu seramai 7,000 orang berdasarkan data yang diperolehi daripada Agensi Yahudi yang mengkoordinasikan proses penghijrahan bangsa Yahudi dari Eropah ke Israel. Pengarahnya, Natan Sharansky menganggarkan, sejumlah 15,000 Yahudi Perancis akan berhijrah meninggalkan negara itu tahun ini dan angka tersebut akan berlipat kali ganda ekoran insiden terbaru ini. Dan pada Ahad lalu, lebih seribu orang telah mendaftarkan diri untuk berhijrah ke Israel. Pada Isnin, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sudah pun memaklumkan yang negaranya akan mengalu-alukan mana-mana warga Perancis berketurunan Yahudi yang ingin berhijrah ke sana. Perasaan tidak selamat ini masih berterusan walaupun kerajaan Perancis telah mengerahkan 10,000 anggota keselamatan berada dalam keadaan berjaga-jaga dan mengawal tempat-tempat yang berkemungkinan menjadi sasaran seperti rumah ibadat dan sekolah. Netanyahu, sepertimana warga keturunan Yahudi yang lain, menuding jari ke arah militan Islam sebagai ancaman utama kepada masyarakat Yahudi Perancis. Nicolas Jalil, 26, seorang pelajar beragama Islam berkata, ancaman bunuh dan serangan ke atas tempat awam bukanlah sebahagian daripada ajaran Islam dan apa yang berlaku itu tidak ada kena mengena langsung dengan agama Islam.