PARIS: Akhbar mingguan kartun Charlie Hebdo yang minggu lalu diserang dan para kartunis serta editor mereka ditembak mati oleh dua bersaudara berketurunan Algeria, pada Rabu muncul dengan edisi terbaru yang lebih kontroversi memaparkan karikatur di muka hadapan yang mereka dakwa sebagai Nabi Muhammad. Edisi terbaru ini pada awalnya dicetak sebanyak tiga juta naskhah dan sebahagian besar kiosk akhbar dan majalah habis menjualnya dalam tempoh beberapa minit sahaja. Di kebanyakkan tempat, orang ramai beratur panjang seawal jam 5.45 pagi untuk mendapatkan naskhah terbaru ini. Sambutan hangat orang ramai terhadap akhbar ini telah mendorong penerbitnya menambah jumlah cetakan kepada lima juta naskhah menjelang tengah hari Rabu. Sebelum ini edaran Charlie Hebdo hanyalah sekitar 30,000 naskhah sahaja. Bagaimanapun, tumpuan khusus yang diberikan kepada insiden serangan ke atas pejabat akhbar ini telah mendorong orang ramai untuk mengetahui apakah kandungan akhbar mingguan satira yang bangga dengan motto mereka iaitu 'Ini adalah sebuah suratkhabar atheis'. Isu terbaru ini yang sudah pastinya akan mengundang kemarahan umat Islam, memaparkan karikatur yang Charlie Hebdo dakwa sebagai Nabi Muhammad sedang memegang kadbod yang bertulis; 'Saya adalah Charlie' dengan terpampang ayat yang berbunyi "Semuanya dimaafkan' dipenjuru atas karikatur tersebut. Edisi terbaru ini muncul di pasaran genap seminggu selepas insiden serangan tersebut yang menyaksikan lapan kakitangan Charlie terkorban termasuk pengarangnya dan juga tiga kartunis mereka. Dua orang anggota polis turut terkorban dalam serangan tersebut. Serangan itu dilakukan oleh dua bersaudara rakyat Perancis berketurunan Algeria. Mereka mendakwa, serangan itu sebagai membalas dendam ke atas tindak tanduk Charlie Hebdo menyiarkan pelbagai bentuk karikatur dan kartun yang mempersendakan Nabi Muhammad dan Islam. Renald Luzier, kartunis yang melukis karikatur untuk edisi terbaru Charlie Hebdo tanpa segan silu atau rasa bersalah berkata yang karikatur yang dimaksudkan untuk muka depan edisi terbaru akhbar itu adalah Nabi Muhammad. Ramai yang khuatir edisi terbaru akhbar itu akan lebih membangkitkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia tetapi Charlie Hebdo berpegang kepada prinsip utama mereka iaitu menegakkan kebebasan bersuara.