suria

Majlis Keselamatan Perlu Campur Tangan Atasi Konflik di Palestin

Hussein Haniff.
KUALA LUMPUR: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu campur tangan dan memikul tanggungjawab Piagamnya untuk menangani konflik di wilayah Palestin yang diduduki memandangkan usaha untuk menyelesaikan konflik Palestin-Israel melalui rundingan dua hala menghadapi kebuntuan yang berlarutan.

Wakil Tetap Malaysia ke PBB, Datuk Hussein Haniff berkata konflik itu merupakan ancaman kepada keamanan dan keselamatan antarabangsa di luar batasan rantau itu.
 
"Palestin awal bulan ini menuruti pelbagai konvensyen dan perjanjian antarabangsa yang meliputi isu-isu seperti Senjata Kluster, Undang-undang Laut, Mahkamah Jenayah Antarabangsa dan Jenayah Terancang Merentasi Sempadan.
 
"Langkah Palestin itu tidak harus dilihat sebagai melemahkan atau menjejaskan rundingan damai. Sebaliknya, masyarakat antarabangsa harus menyambut baik tindakan itu sebagai langkah ke arah yang betul," kata beliau dalam ucapannya pada Perbahasan Terbuka Mengenai Timur Tengah di Majlis Keselamatan, di New York pada Khamis.

Beliau berkata pada pandangan Malaysia, dengan menyetujui konvensyen dan perjanjian antarabangsa, tindakan Palestin adalah bersifat kekangan dan menjadi penanda aras terhadap norma-norma dan standard antarabangsa yang dipersetujui.
 
"Ia juga akan menyumbang ke arah menghalang jenayah perang dan mengakhiri imuniti oleh pihak-pihak yang bertelagah. Ia sudah pasti jalan yang lebih baik dan sah daripada beralih kepada keganasan dan ekstremisme untuk mencapai hak menentukan masa depan sendiri.

Justeru, Hussein berkata ia adalah untuk kepentingan semua pihak untuk mengikhtiraf Palestin sebagai anggota masyarakat antarabangsa yang bertanggungjawab, terikat dengan peraturan dannorma-norma undang-undang antarabangsa.

Beliau berkata Malaysia dengan tulus berharap dapat memainkan peranan yang membina dalam Majlis Keselamatan dalam usaha mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa, khususnya di Timur Tengah.
 
"Kami menaruh harapan untuk menyumbang dalam usaha memelihara keamanan dan keselamatan antarabangsa dan menegakkan Piagam PBB, termasuk melalui pendekatan nilai kesederhanaan kami sebagai alat yang berkesan untuk membendung ekstremisme, mendamaikan perbalahan dan menyelesaikan pertikaian," katanya.

Beliau berkata sejak beberapa tahun yang lalu, Malaysia telah menggesa bagi platform antarabangsa untuk majoriti senyap, sebagai contoh suara kesederhanaan, untuk tampil bersama dan menangani sentimen ekstremisme yang semakin meningkat dalam semua bentuk.
 
"Suara kesederhanaan mesti dimanfaatkan terhadap suara mereka yang mengapi-apikan kebencian, kejahilan, keganasan dan ekstremisme. Kita mesti mengemblengkan kesungguhan politik untuk merapatkan perbezaan dan mengembalikan kestabilan kepada kehidupan semua penduduk di Timur Tengah, tanpa mengira agama, etnik atau kewarganegaraan," katanya.

PBB, konflik, Palestin

Artikel Lain