JAKARTA: Kegagalan dalam proses mengemukakan rayuan kepada kerajaan Indonesia untuk tidak menghukum mati warganya yang terbabit dalam kegiatan dadah mendorong Brazil dan Belanda memanggil balik duta masing-masing dari negara itu. Pada Ahad, enam pesalah dadah, termasuk dari Vietnam, Malawi dan Nigeria ditembak mati sebagai hukuman atas kesalahan berkaitan dadah. Seorang wanita rakyat Indonesia juga berhadapan hukuman sama. Ia adalah pelaksanaan hukuman mati pertama di bawah pentadbiran Presiden Jokowi. Jurucakap Presiden Dilma Roussef berkata, pemimpin Brazil itu tertekan dan berang selepas Jakarta tidak mengendahkan rayuan saat-saat akhir untuk tidak membunuh Marco Archer Cardoso Moreira yang disabitkan kesalahan menyeludup kokain pada 2004. “Menggunakan hukuman mati ketika ia semakin ditolak komuniti antarabangsa memberi kesan serius kepada hubungan antara kedua-dua negara,” katanya. Jurucakap itu berkata, Duta Brazil dipanggil pulang untuk proses rundingan. Sementara itu, Menteri Luar Belanda, Bert Koenders berkata, duta mereka dipanggil balik kerana membantah pelaksanaan hukuman mati ke atas rakyat negara itu, Ang Kiem Soei. Katanya, Amsterdam menganggap kematian enam pesalah terbabit sebagai sesuatu yang amat menyedihkan. Koenders berkata, Belanda tetap membantah pelaksanaan hukuman mati berkenaan. Menurutnya, Raja Willem-Alexander dan Perdana Menteri, Mark Rutte juga telah menghubungi Jokowi mengenai isu itu.