JAKARTA: Presiden Joko Widodo atau Jokowi memutuskan untuk tidak melayan permohonan kerajaan Australia supaya membatalkan pelaksanaan hukuman mati terhadap dua warganegara itu. Menteri Penyelaras Politik, Undang-undang dan Keamanan, Tedjo Edy Purdiyatno berkata, ketetapan itu dibuat kerana kerajaan Indonesia tidak akan memberi terhadap pesalah berkaitan dadah. “Memang pemimpin kerajaan asing menghubungi Jokowi untuk melobi jika ada warga mereka yang akan dihukum mati. “Bagaimanapun, Jokowi memberi komitmen untuk meneruskan hukuman mati terhadap pesalah dadah,” katanya. Menurut Tedjo, Jokowi juga tidak bimbang jika pendiriannya itu akan mengeruhkan hubungan dua hala antara negara terbabit. Malahan, katanya, ketika ini juga ramai warga Indonesia menjalani hukuman mati di negara lain jika didapati bersalah membabitkan kes dadah. “Sebelum ini, ada warga Indonesia dihukum mati di Malaysia. Kerajaan beri bantuan dan selepas hukuman dijalankan, hubungan Jakarta-Putrajaya masih baik. "Seharusnya, Perdana Menteri Australia sebagai seorang negarawan, dia seharusnya menghormati undang-undang negara berdaulat,” katanya. Sebelum ini, Australia dikatakan mengancam untuk memanggil semula duta besarnya di Indonesia jika dua warganya dihukum mati, demikian lapor portal berita Kompas.com. Dua warga Australia, Andrew Chan dan Myuran Sukumara, terlibat dalam penyeludupan heroin seberat lapan kilogram ke negera itu. Perkara tersebut ini disampaikan Menteri Luar Negeri Australia, Julie Bishop ketika ditanya adakah negara itu akan mengikut langkah Brazil dan Belanda dengan memanggil pulang duta besar mereka di Jakarta jika hukuman mati tetap dilaksanakan. Hubungan Australia dan Indonesia sering dilanda masalah, terutamanya berkaitan isu pemohon suaka dan juga hal-hal pengintipan. Pada 2013, pemerintah Indonesia memanggil pulang duta besarnya dan membekukan kerjasama ketenteraan antara dua negara apabila setelah terdedahnya kes mencuri dengar perbualan telefon isteri bekas presiden, Susilo Bambang Yudhoyono.