> Lassana Bathily, 24, yang dilahirkan di Mali selamatkan enam pelanggan pasar raya yang diserang > Dia menyembunyikan beberapa pelanggan di dalam peti sejuk beku sebelum menutup suis > Lassana kemudiannya keluar secara senyap melalui pintu belakang untuk bantu polis serbu > Pendatang itu adalah seorang beragama Islam PARIS: Seorang pendatang dari Mali yang beragama Islam telah dianugerahkan kerakyatan penuh oleh Perancis kerana tindakan beraninya menyelamatkan enam orang pelanggan sebuah pasar raya Yahudi di sini yang diserang oleh seorang ekstremis baru-baru ini. Lassana Bathily, 24, menerima sijil kewarganegaraannya daripada Menteri Dalam Negeri, Bernard Cazeneuve dalam satu majlis khas yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri Perancis, Manuel Valls. Cazeneuve berkata, tindakan berani Bathily itu adalah simbol kepada semangat keamanan dan toleransi Islam yang sebenar. Bathily, walaupun bersekolah di Paris, tetapi masih memegang status pendatang yang dibenarkan bermastautin dan bekerja di Perancis kerana Mali adalah bekas tanah jajahan Perancis. Sambil menitiskan air mata, Bathily menyifatkan ini adalah hari yang penuh bersejarah dan bermakna dalam hidupnya. "Saya bukanlah seorang hero, saya hanyalah seorang insan biasa bernama Lassana. Saya adalah diri saya yang sebenar. Semua orang pada kaca mata saya adalah sama," katanya selepas menerima sijil kerakyatannya itu. Ketika pasar raya itu diserang oleh seorang pelampau bernama Amedy Coulibaly, pada 9 Januari lalu, Bathily sedang mengemas barangan stok di bilik bawah tanah. Dia adalah pekerja pasar raya berkenaan. Coulibaly kemudiannya menembak mati empat orang awam di dalam pasar raya khas yang menjual barangan-barangan dan makanan 'halal' untuk kaum Yahudi di Paris. Bagaimapaun, Bathily secara senyap-senyap telah menarik turun para pelanggan yang berada di belakang pasar raya itu ke bilik beku yang terletak di tingkat bawah dan menyembunyikan mereka di situ. Dia kemudiannya menutup suis bilik beku tersebut dan keluar menerusi pintu belakang untuk membantu polis menyerbu masuk ke pasar raya itu.