PARIS: Kumpulan Air France-KLM secara rasminya memaklumkan kepada para pemimpin kesatuan sekerja pada Khamis bahawa mereka akan membuang lebih ramai pekerja dengan menawarkan pakej pemberhentian kepada sekurang-kurangnya 800 kakitangan lapangan dan juga kabin. Dalam tempoh tiga tahun ini, Air France-KLM telah pun membuang 8,000 kakitangan tetapi masih lagi menanggung kerugian yang besar. Bagaimanapun pihak kesatuan menganggarkan 500 kakitangan lapangan dan 300 pramugara serta pramugari akan terlibat dengan eksesais terbaru ini. Kumpulan Air France-KLM yang menanggung kerugian sehingga Euro1.8 bilion pada 2013, belum pernah mencatat keuntungan sejak 2010. Air France dan rangkaian subsidiari di bawahnya menggaji sehingga 65,000 pekerja. Pertemuan untuk membincangkan langkah penjimatan terbaru ini akan berlangsung di antara pihak kesatuan dengan pengurusan pada 5 Februari ini. Mogok yang dilancarkan oleh juruterbang Air France tahun lalu telah menyebabkan syarikat penerbangan Perancis itu mengalami kerugian sebanyak Euro 400 juta. Pihak syarikat mensasarkan untuk mengurangkan hutang sehingga Euro 4.5 bilion menjelang hujung 2015 daripada Euro 6.5 bilion yang mereka tanggung sejak 2012.